Rosmah gagal lagi untuk gugurkan Gopal Sri Ram - Utusan Malaysia

Rosmah gagal lagi untuk gugurkan Gopal Sri Ram

ROSMAH Mansor hadir bagi mendengar keputusan rayuan menggugurkan Gopal Sri Ram sebagai ketua pendakwaan di Mahkamah Rayuan Putrajaya hari ini. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Datin Seri Rosmah Mansor sekali lagi gagal dalam usahanya mengugurkan bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Seri Gopal Sri Ram sebagai ketua pendakwaan dan membatalkan perbicaraan kes rasuahnya.

Ia selepas panel tiga hakim yang diketuai Datuk Hanipah Farikullah yang bersidang bersama-sama Datuk M. Gunalan dan Datuk Hashim Hamzah sebulat suara membenarkan bantahan awal dikemukakan pihak pendakwaan pada 15 November lalu.

Ujarnya, pendakwaan telah mengemukakan dua bantahan awal iaitu keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Tinggi bukanlah keputusan akhir manakala bantahan kedua adalah mahkamah jenayah tidak mempunyai kuasa membuat keputusan berbentuk pengisytiharan.

“Selepas meneliti dan mempertimbang hujahan serta nas perundangan dikemukakan, kami mendapati bantahan kedua ditimbulkan oleh responden adalah isu perundangan yang menyentuh merit dan bidang kuasa mahkamah perlu diputuskan terlebih dahulu.

“Kami dapati relif yang dimohon adalah berbentuk pengisytiharan (deklarasi). Kami berpendapat bahawa relif dimohon mestilah tergolong dalam perkara yang dibenarkan oleh Kanun Tatacara Jenayah. Bagaimanapun tiada peruntukan didalam akta tersebut memberikan kuasa kepada mahkamah untuk membuat keputusan berbentuk pengisytiharan,” kata Hakim Hanipah.

Sehubungan itu, panel terbabit membenarkan bantahan awal pendakwaan berhubung bidang kuasa mahkamah dan menolak rayuan oleh Rosmah.

“Kami membenarkan bantahan awal kedua yang dikemukakan responden dan oleh itu kami tidak akan mempertimbangkan hujah mengenai bantahan awal pertama dan merit rayuan,”katanya.

Pada 6 Mei lalu, Rosmah memfailkan dua permohonan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk membatalkan keseluruhan perbicaraannya daripada ketiga-tiga pertuduhan serta menggugurkan Sri Ram sebagai pendakwa utama dalam kes rasuah yang dihadapinya.

Rosmah sedang memberikan keterangan bela diri atas tiga pertuduhan meminta dan menerima rasuah berkaitan Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic Hibrid serta Penyelenggaraan dan Operasi Genset/Diesel bagi 369 sekolah luar bandar di Sarawak bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan.

Perbicaraan kes itu dijadualkan bersambung pada 8 Disember ini.

Terdahulu, pada peringkat awal prosiding, peguam Rosmah, Datuk Jagjit Singh sekali lagi memohon maaf atas ketidakhadiran anak guamnya itu pada prosiding Khamis lalu.

“Yang Arif, kami (pembelaan) sesungguhnya memohon maaf atas ketidakhadiran perayu (Rosmah) minggu lalu. Beliau juga memohon maaf dengan seikhlas hati,”kata peguam itu.

Khamis lalu, Rosmah hampir dikenakan waran tangkap selepas tidak hadir pada prosiding rayuan itu kerana masih berada di Singapura kerana melawat anak perempuannya yang baharu bersalin namun panel sama memutuskan untuk tidak mengeluarkan waran tangkap itu selepas mengambil kira hujah peguam bela bahawa situasi tersebut berlaku kerana pembelaan terlepas pandang dalam menasihati perayu berhubung kehadirannya hari ini. – UTUSAN ONLINE 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN