MELAKA: Kerajaan Persekutuan telah meluluskan lapan projek bernilai RM931.2 juta bagi mengatasi masalah banjir yang sering melanda Melaka, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali.
Menurutnya, lapan projek tersebut adalah Projek Tebatan Banjir (RTB) Sungai Melaka Fasa 1, naik taraf Kolam Tebatan Banjir Krubong, RTB Sungai Duyong, RTB Alor Gajah Fasa 1, RTB Jasin, RTB Merlimau, penyediaan peta bahaya lembangan Sungai Duyong dan kajian pelan induk RTB Sungai Baru.
Beliau berkata, dalam Bajet 2022, kerajaan Pusat juga telah meluluskan 18 projek jangka pendek melalui peruntukan pembangunan wilayah meliputi tiga kategori iaitu pelancongan, jaminan bekalan makanan serta pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar.
“Kerajaan negeri juga memerlukan peruntukan sebanyak RM54 juta bagi melaksanakan projek mengatasi banjir berulang di Sungai Putat yang akan dimohon melalui Kementerian Alam Sekitar dan Air di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).
“Selain itu, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) telah merancang untuk melaksanakan Kajian Melaka Bebas Banjir melalui kos sebanyak RM6 juta. Saya berharap kos ini dapat ditampung melalui peruntukan RMK-12,” katanya dalam sidang akhbar di Seri Negeri, Ayer Keroh, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Sulaiman berkata, JPS juga telah mengenal pasti sebanyak 124 lokasi panas yang sering berlaku banjir kilat iaitu 59 di Melaka Tengah, Alor Gajah (23) dan Jasin (24).
Menurutnya, sepanjang tahun ini, kerajaan negeri telah melaksanakan 383 projek kecil jangka pendek seperti menaik taraf parit, longkang dan lain-lain melibatkan kos sebanyak RM37 juta.
Sementara itu, ditanya mengenai persediaan menghadapi gelombang kedua, beliau memberi jaminan semua agensi terlibat berada dalam kesiapsiagaan dan bilik gerakan beroperasi selama 24 jam.
Menurutnya, walaupun banjir di negeri ini hanya berlaku antara tiga hingga empat kali setahun, tidak seteruk beberapa negeri lain seperti Kelantan, Terengganu, Johor dan Selangor, namun agensi terlibat telah diarahkan untuk memantau situasi tersebut.
“Saya telah mengarahkan semua agensi terbabit berada dalam kesiapsiagaan penuh. Kita tidak tahu kejadian luar biasa yang di luar jangkaan mungkin berlaku seperti mana dialami di Selangor, khususnya di Shah Alam dan Hulu Langat,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE