RM39.6j dilulus baik pulih jalan, jambatan, cerun runtuh akibat banjir di NS - Utusan Malaysia

RM39.6j dilulus baik pulih jalan, jambatan, cerun runtuh akibat banjir di NS

AMINUDDIN HARUN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Sebanyak RM39.6 juta peruntukan menerusi Akaun Amanah Penyelenggaraan Jalan Raya Negeri telah diluluskan bagi kerja-kerja baik pulih infrastruktur seperti jalan dan jambatan di Negeri Sembilan susulan musibah banjir yang berlaku baru-baru ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, peruntukan tersebut diluluskan hasil Mesyuarat Khas (Pasca Banjir) Jawatankuasa Akaun Amanah Penyelenggaraan Jalan Raya Negeri pada 29 Disember yang lalu.

Menurut beliau, peruntukan yang diluluskan itu merangkumi 88 buah projek selaras dengan ketetapan Pekeliling Perbendaharaan PB3.6 dengan Garis Panduan Tatacara Pengurusan Pemberian Penyenggaraan Jalan Negeri 3.0.

“Mesyuarat Jawatankuasa Akaun Amanah Penyelenggaraan Jalan Raya bersetuju dengan permohonan kerja-kerja baik pulih infrastruktur seperti baik pulih jalan, cerun, jambatan serta lain-lain kerja baik pulih. 

“Anggaran kelulusan seperti baik pulih jambatan sebanyak RM9.7 juta (24 projek), baik pulih jalan sebanyak RM2.9 juta (24 projek); baik pulih cerun sebanyak RM25.2 juta (27 projek) dan lain-lain kerja baik pulih yang berkaitan seperti longkang dan pembentung sebanyak RM1.7 juta (13 projek),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Aminuddin menambah, bagi mempercepatkan proses pelaksanaan projek, mesyuarat tersebut turut bersetuju agar beberapa kaedah perolehan dilaksanakan seperti kaedah undian, perolehan secara terbuka atau tender bergantung kepada tahap kesegeraan kerosakan. 

“Selain daripada kaedah perolehan di atas, sebanyak RM5 juta telah pun diluluskan serta merta secara perolehan darurat mengikut AP173.2 dan PB3.3

“Keutamaan kerajaan negeri juga adalah untuk memastikan keselamatan dan kebajikan awam terpelihara. Sehubungan itu, setiap agensi pelaksana  telah diarahkan untuk mempercepatkan gerak kerja dan melaksanakan terlebih dahulu pembaikan sementara di mana-mana lokasi yang berkaitan,” tambah beliau.- UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya