Rina Harun bersih kesan najis unggas, cicak sukar dicuci - JKM - Utusan Malaysia

Rina Harun bersih kesan najis unggas, cicak sukar dicuci – JKM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Susulan isu tular yang mendakwa Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat ‘berlakon’ mencuci simen bersih di sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) menggunakan alat penyembur air, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menjelaskan, tindakan itu  dibuat Datuk Seri Rina Harun untuk membersihkan kesan najis unggas dan cicak yang dilaporkan sukar dicuci sebelum ini.

Dalam satu kenyataan akhbar bagi menjawab isu berkenaan, JKM memaklumkan, Rina telah sudi menyertai operasi pasca bencana banjir yang diaturkan jabatan berkenaan untuk membersihkan Sekolah Kebangsaan Salak Tinggi yang dijadikan sebagai PPS dari 18 hingga 23 Disember lalu.

Katanya, Rina bukan sekadar menyertai pembersihan awam tetapi turut bersama Sukarelawan Keluarga Malaysia membersihkan kelas, menyapu lantai dan tingkap bilik darjah, menyusun atur meja serta kerusi pelajar supaya keadaan kembali seperti sedia kala memandangkan sesi persekolahan akan dibuka tidak lama lagi.

Malah, katanya, beliau juga mengemas khemah-khemah yang digunakan oleh mangsa banjir untuk simpanan bagi kegunaan akan datang.

“JKM terpanggil untuk menjawab isu tular yang mendakwa YB Datuk Seri Rina hanya ‘berposing’ mencuci simen bersih di sekolah tersebut. JKM selaku jabatan yang menguruskan operasi ini telah memohon kesudian YB Datuk Seri Rina untuk mencuci kesan-kesan najis unggas dan cicak yang dilaporkan pihak pengurusan sekolah sukar dicucikan sebelum ini.

“Memandangkan peralatan waterjet (penyembur air) sedia ada di lokasi pembersihan, YB Datuk Seri Rina tidak menolak pelawaan JKM dab beliau melakukan kerja tersebut dengan dada yang lapang dan hati terbuka,” kata kenyataan itu lewat malam ini.

Terdahulu, satu klip video memaparkan Rina mencuci simen koridor dan longkang PPS berkenaan tular dalam media sosial dan mengundang kritikan pelbagai pihak serta nitizen.

Berdasarkan klip rakaman tersebut, Rina kelihatan mencuci koridor yang dilihat sudah bersih menggunakan penyembur air dan terdapat beberapa jurufoto sedang merakam gambarnya.

JKM menegaskan, penglibatan Rina bukan sekadar membersihkan simen tersebut malah beliau telah sama-sama melakukan kerja-kerja pembersihan dan susun atur logistik lain di sekolah berkenaan.

“JKM berasakan tidak adil para netizen membuat tohmahan dan memperlekeh usaha dan penglibatan YB Datuk Seri Rina dalam operasi pembersihan ini. 

‘JKM juga menyeru dan mengalu-alukan lebih ramai rakyat Malaysia untuk tampil mendaftar serta terlibat menjadi Sukarelawan Keluarga Malaysia dalam misi membantu operasi pasca banjir, daripada membuat dan menyebarkan provokasi tidak bermanfaat,” katanya. – UTUSAN ONLINE 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN