PETALING JAYA: Penyatuan Pemain Industri Pengangkutan Darat Malaysia (PPDM) melihat tindakan Kementerian Kerja Raya (KKR) memperkenal transaksi tol menggunakan teknologi Pengecaman Frekuensi Radio (RFID) seperti mempunyai agenda tersembunyi dan melindungi kepentingan pihak-pihak tertentu.
Ketua Aktivisnya, Kamarudin Hussain berkata, kementerian itu sepatutnya perlu bersikap lebih tulus dan berusaha memberi keselesaan kepada rakyat atau pengguna.
“Kami menyambut baik kemajuan teknologi yang diperkenal berkaitan transaksi Tol melalui teknologi RFID di lebuh raya bertol.
“Tetapi agak terkejut dengan pendekatan yang diambil oleh KKR dengan akan menghentikan penggunaan TnGo dan Smart Tag secara berperingkat.
“Apakah KKR akan membayar semula kerugian yang bakal dihadapi oleh puluhan juta pengguna yang selama ini telah mengeluarkan wang mereka untuk membeli Kad TnGo dan mesin Smart Tag atau KKR tidak memperdulikan kerugian yang bakal rakyat hadapi kelak?” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurut Kamarudin, pihaknya berpendapat sudah tiba masanya KKR melihat kepada perkara-perkara lebih penting daripada menggunakan kuasa yang ada untuk melindungi kepentingan pihak-pihak tertentu.
Beliau berkata, ini kerana semua pihak dapat melihat jumlah kenderaan semakin meningkat, malah kebanyakan lebuh raya menjadi sesak setiap kali tibanya musim perayaan dan cuti umum.
Katanya, kebanyakan faktor kesesakan tersebut adalah berpunca daripada lebuh raya yang sempit dan jumlah tol yang tidak mencukupi.
“Contohnya, kebanyakan lebuh raya yang ketika ini masih mengekalkan dua lorong perlu ditingkatkan kepada empat lorong atau setidak-tidaknya tiga lorong, dan jumlah tol yang ketika ini tidak mencukupi sehingga menyebabkan berlakunya kesesakan perlu ditambah agar masalah tersebut dapat diselesaikan.
“Selain itu, KKR juga perlu melihat kesesakan yang sering berlaku di hentian rehat dan rawat (R&R) khususnya untuk kenderaan berat juga perlu ditangani dan bukannya membiarkan ia berlarutan,” katanya.
Tambah beliau, pihaknya juga menerima banyak aduan dari rakan-rakan pemandu kenderaan berat yang mendakwa kawasan rehat yang ada ketika ini bukan sahaja tidak mencukupi, bahkan tidak dapat memuatkan kenderaan-kenderaan mereka khususnya di musim perayaan mahupun cuti umum.
“Sebenarnya terdapat banyak lagi masalah-masalah yang lebih penting yang seharusnya KKR beri perhatian dan penekanan. Harapan kami KKR menjalankan tugas dengan lebih baik dan tidak menyalahgunakan kuasa yang mereka ada untuk ‘memangsakan’ rakyat demi melindungi kepentingan pihak-pihak tertentu,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE