Rezeki kontraktor daratkan ikan kenerak jarang jumpa - Utusan Malaysia

Rezeki kontraktor daratkan ikan kenerak jarang jumpa

MOHAMAD Syafirdaus Hamat Shafi bersama ikan kenerak seberat 10.04 kilogram yang dipancing di Sungai Kelantan, berhampiran Kampung Kasar, Pasir Mas, Kelantan, Sabtu lalu. - UTUSAN/TOREK SULONG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR MAS: Seorang kaki pancing mendapat rezeki terpijak apabila mendaratkan seekor ikan kenerak yang beratnya lebih 10 kilogram di Sungai Kelantan, dekat Kampung Kasar, di sini Sabtu lalu.

Kontraktor, Mohamad Syafirdaus Hamat Shafi, 31, berkata, selepas selesai kerja menghantar bekalan susu ke beberapa klinik kesihatan sekitar daerah ini, dia membuat keputusan memancing di situ kira-kira pukul 6 petang kelmarin.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Mohamad Syafirdaus berkata, dia mengambil masa kira-kira 20 minit untuk ‘bertarung’ sebelum mendaratkan spesies jarang ditemukan seberat 10.04 kilogram itu dengan bantuan rakan-rakan.

“Sebenarnya saya hampir membatalkan hasrat selepas melihat ramai kaki pancing sudah berada di tebing sungai. Namun saya turun berbekalkan umpan tiruan atau gewang dasar jenama Zero 70F.

“Saya tidak tunggu lama, sebaliknya hanya sekali campak ke tengah sungai, umpan terus direntap kuat ‘habuan’ yang saya jangka besar berdasarkan kekuatannya itu,” katanya ditemui Utusan Malaysia.

Menurut Mohamad Syafirdaus, sangkaannya tidak meleset kerana selepas berusaha menarik tali pancing, seekor kenerak atau nama saintifiknya Bagarius bagarius sedang bergelut cuba melepaskan diri daripada mata kail.

Difahamkan, di Kelantan ikan berdaging kuning tersebut dijual dengan harga RM40 sekilogram. Mohamad Syafirdaus bagaimanapun hanya menjual hasil pancingannya itu pada harga RM100 seekor kepada seorang pembeli di situ.

“Harga ikan itu sepatutnya mencecah RM400 tetapi tidak apalah. Buat apa berkira, lebih-lebih lagi selang 10 minit kemudian saya sekali lagi berjaya mendaratkan ikan spesies sama seberat 3.5 kilogram untuk juadah seisi keluarga, ” ujarnya.

Selain spesies patin dan kelah, ikan kenerak adalah antara ikan yang bersaiz besar dikatakan masih menghuni dasar Sungai Kelantan walaupun kualiti airnya sudah tidak sejernih dulu.

“Ikan kenerak tidak dijual di pasaran terbuka. Hanya kaki pancing saja yang lebih berpeluang menikmati keenakan isinya apabila di masak kuning atau gulai asam pedas tempoyak,” kata Mohamad Syafirdaus. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya