BALING : Seorang remaja maut manakala rakannya parah selepas motosikal ditunggang mereka bertembung dengan sebuah jengkaut di Kampung Bandar, di sini, malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9 malam itu, penunggang motosikal jenis Yamaha Y15ZR, Muhamad Aiman Nor Hakim Rosidan, 19, meninggal dunia di tempat kejadian manakala pembonceng motosikal, Muhammad Aiman Shah Shukri, 18, pula cedera parah.
Ketua Polis Daerah Baling, Superintenden Shamsudin Mamat memberitahu, kemalangan berlaku ketika motosikal ditunggang dua remaja terbabit dalam perjalanan dari arah jalan Baling menghala Weng.
“Sebaik sahaja tiba di tempat kejadian, penunggang motosikal dipercayai tidak lepas memotong sebuah kenderaan lain dan masuk ke laluan bertentangan lalu bertembung dengan jengkaut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE