Redah banjir paras dada demi kucing - Utusan Malaysia

Redah banjir paras dada demi kucing

MOHD. Shahrizan Nawawi menyelamatkan kucingnya setelah kediamannya dinaiki air di Kampung Batu 8, Lorong Kedah, Jalan Cangkat Jong, Teluk Intan hari ini. - UTUSAN/ZULFACHRI ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TELUK INTAN: Seorang lelaki sanggup meredah banjir separas dada untuk memberi makan kepada lapan ekor kucingnya di Kampung Batu 8, Lorong Kedah dekat Changkat Jong di sini.

Mohd. Shahrizan Nawawi, 40, berkata, dia tidak sanggup membiarkan haiwan kesayangannya itu kelaparan setelah dia dan keluarga berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Abdul Rahman Talib.

“Setiap hari, saya berulang-alik sejauh lapan kilometer pulang ke rumah untuk memberi makanan kepada kucing-kucing. Paling kurang tiga kali sehari.

“Kesemua kucing itu saya tempatkan di sebuah rumah kosong di tepi jalan utama dan paras air pun tidak terlalu bahaya untuk saya redah,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Menurut Mohd. Shahrizan, dia telah memelihara kucing-kucing itu sejak 10 tahun lalu dan menjadi kesayangan anak-anaknya yang kerap bertanya keadaan haiwan tersebut.

Katanya, meskipun bimbangkan keselamatan haiwan itu, dia tidak berhasrat membawa kucing-kucing tersebut ke PPS kerana tidak mahu mengganggu keselesaan orang lain.

“Tidak mengapalah, selagi keadaan mengizinkan, saya akan balik jenguk. Buat masa ini keadaan rumah saya masih tidak selamat kerana air naik hampir paras dada,” katanya.

Bagi Rashida Darus, 32, dia terpaksa meletakkan haiwan peliharaannya di atas bumbung rumah selepas air naik mendadak ekoran hujan berterusan sejak Jumaat lalu.

Katanya, walaupun tidak sanggup berbuat demikian, dia tiada pilihan lain kerana terpaksa berpindah ke PPS bersama suami dan anak-anak.

“Saya dan suami letakkan kucing, arnab, burung puyuh dan hamster lebih 20 ekor di atas bumbung bersama makanan dan bekas minuman sebelum berpindah ke PPS pada pukul 3 pagi semalam (Ahad).

“Risau memikirkan keadaan haiwan-haiwan itu tetapi kami tiada pilihan lain. Setiap pagi saya balik ke rumah untuk jenguk keadaan haiwan-haiwan itu dan harap banjir akan cepat surut supaya kami boleh segera kembali ke rumah,” katanya.

Setakat pukul 4 petang tadi, jumlah mangsa banjir di Perak meningkat kepada 264 orang daripada 73 keluarga di tiga pusat pemindahan sementara (PPS) berbanding 242 orang daripada 65 keluarga pada pukul 8 pagi tadi.

Mangsa banjir yang berada di SMK Abdul Rahman Talib kekal 140 orang daripada 35 keluarga manakala jumlah mangsa banjir di Dewan Bandaran Teluk Intan meningkat kepada 85 orang daripada 27 keluarga.

Bagi PPS di Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Slim, jumlah mangsa banjir kekal 39 orang daripada 11 keluarga.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya