PUTRAJAYA: Walaupun rayuannya ditolak, seorang penganggur dikira bernasib baik kerana Mahkamah Rayuan di sini hari ini tidak meminda hukuman yang disifatkan tidak setimpal kepada hukuman lebih tinggi.
Ini kerana, panel tiga hakim yang diketuai Datuk Seri Kamaludin Md. Said sebulat suara memutuskan tiada alasan munasabah yang membolehkan mahkamah mengganggu hukuman yang dibuat oleh mahkamah terdahulu terhadap perayu, Mohamad Nurhadi Othman, 31, bagi kesalahan merogol, seks oral dan meliwat.
“Hukuman penjara 15 tahun bagi kesalahan Seksyen 377C (seks luar tabii) adalah di bawah tempoh maksimum. Hukuman penjara 20 tahun bagi kesalahan Seksyen 376 (merogol) juga di bawah tempoh (hukuman) maksimum.
“Hukuman yang dikenakan sebelum ini terhadap kamu adalah terlalu ringan dan tidak setimpal jika dibandingkan dengan kesalahan yang dilakukan. Tambahan pula, hukuman kamu diperintahkan secara serentak, orang lain ada yang diperintahkan secara berasingan.
“Habis penjara 15 tahun, sambung lagi 15 tahun, habis sambung lagi, mati pun dalam penjara. Jadi hukuman kamu ini adalah munasabah, kamu bernasib baik,” kata Hakim Kamaludin.
Turut bersidang bersama-sama beliau ialah Hakim Datuk Abu Bakar Jais dan Hakim Datuk Ghazali Cha. Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Atiqah Abdul Karim @ Husaini manakala perayu diwakili peguam, Mohamad Nor Hisam Hussain.
Mohamad Nurhadi sebelum ini dikenakan hukuman penjara 15 tahun dan sebat enam kali bagi tiga kesalahan meliwat dan memaksa mangsa yang merupakan seorang jurujual kedai kain untuk melakukan seks oral.
Dia juga dikenakan hukuman penjara 20 tahun dan enam sebatan bagi kesalahan merogol mangsa yang sama di antara pukul 10.10 hingga 10.55 malam, 1 Ogos 2018, di sebuah kedai kain Jalan Bukit Kecil, Kuala Terengganu, Terengganu.
Bagaimanapun, mahkamah memerintahkan hukuman tersebut berjalan secara serentak menjadikan hukuman yang perlu dijalaninya adalah penjara 20 tahun dan sebat 12 kali. Mohamad Nurhadi juga sedang menjalani hukuman penjara 10 tahun dan sebat 12 kali bagi kesalahan merompak mangsa sama namun dia tidak merayu bagi hukuman kesalahan ini.
Menurut fakta kes, ketika mangsa berada di tempat kerjanya, perayu telah datang dan memintanya untuk mencuba pakaian yang ingin dibelikan untuk teman wanitanya.
Bagaimanapun, ketika mangsa yang ketika itu berusia 21 tahun mencuba pakaian, Mohamad Nurhadi telah mengacukan pisau kepada wanita itu sebelum merogol, meliwat dan memaksa mangsa melakukan seks oral terhadap dirinya.
Atiqah ketika berhujah menyatakan, sebelum kejadian tersebut, perayu telah duduk sambil minum dan menghisap rokok di hadapan sebuah kedai serbaneka yang terletak di sebelah tempat kerja mangsa.
“Ini menunjukkan tindakan mangsa adalah sesuatu yang dirancang dan bukannya sebab dia berada dalam keadaan tidak waras,”kata pendakwa raya itu.
Sejurus selepas mahkamah membuat penghakiman, Hakim Ghazali sempat menitipkan kata-kata nasihat buat perayu.
“Kami berharap bila kamu keluar penjara nanti, kamu benar-benar telah insaf. Awak orang Islam maka bersungguh-sungguhlah meminta ampun dengan Allah sepanjang tempoh kamu di penjara,” kata hakim itu. – UTUSAN ONLINE