Ratusan kenderaan tersadai di Seksyen 13 - Utusan Malaysia

Ratusan kenderaan tersadai di Seksyen 13

DERETAN kereta tersadai selepas banjir akibat limpahan air Sungai Damansara di sekitar Seksyen 13, Shah Alam, Selangor. - UTUSAN/MOHAMAD NAUFAL MOHAMAD IDRIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Beberapa kawasan banjir di sekitar Seksyen 13 di sini mulai surut pada hari ini, walau bagaimanapun itu tidak mengurangkan kebimbangan kebanyakan penduduk apabila kenderaan mereka ditenggelami air limpahan Sungai Damansara.

Ini kerana berdasarkan tinjauan Utusan Malaysia di sekitar perumahan dan pusat komersial di sana mendapati, terdapat ratusan pelbagai jenis kenderaan seperti kereta dan motosikal tersadai dan terdapat kesan ditenggelami air.

Malah gambar sebuah trak bomba tersadai yang tular dalam media sosial berhampiran sebuah kondominium masih di sana ketika tinjauan.

Salah seorang mangsa, Arif Fauzan Hashim, 24, berkata, dia meletakkan keretanya di kawasan deretan kedai berhampiran sebuah institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) kira-kira pukul 5 petang semalam.

“Ketika hujan lebat semalam, saya berada seorang diri di pangsapuri, Menara U seorang diri sementara rakan serumah yang lain belum pulang dan tertidur, namun hanya terjaga pada lewat petang dan mendapati kawasan rumah dinaiki air.

“Saya terkejut dan terfikirkan kereta yang diletakkan dekat deretan kedai, tetapi tidak berani turun untuk alihkan kenderaan kerana risau air naik laju dan arus deras. Namun tidak lama kemudian saya melihat banyak kereta termasuk milik saya tenggelam dan berharap tidak rosak teruk,” kata mahasiswa itu ketika ditemui.

Sementara itu, seorang lagi mangsa, Roziana Asri, 40, berkata, dia berharap kereta Perodua Myvi yang dinaiki bersama suami dan tiga anaknya tidak rosak teruk selepas terperangkap dalam banjir berhampiran Masjid Al-Ikhlas sejak petang semalam.

Menurutnya, dia sekeluarga terperangkap dalam kesesakan dan banjir sejak petang semalam dan situasi itu menyebabkan mereka anak beranak terpaksa bermalam dalam kereta di sana.

“Tak boleh keluar dari kawasan yang sesak sebab kami tersangkut di tengah-tengah kenderaan yang banyak dan tak boleh berpatah balik atau mara ke hadapan, akhirnya kami menunggulah semalaman dan menyaksikan paras air naik sedikit demi sedikit menenggelamkan kereta kami dan orang lain.

“Hari ini pula air mula surut sejak tengah hari tadi, tetapi masih tak boleh pulang sebab kereta tak boleh hidup walaupun beberapa kali cuba dihidupkan, jadi terpaksa redah dan berharap kereta tidak rosak teruk, mungkin kalau tunggu sehingga kering baru kereta boleh bergerak,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya