ARAU: Ramai golongan wanita tmembuktikan kejayaan mereka seterusnya memperbaiki taraf dan kehidupan keluarga masing-masing dengan menjalankan perniagaan atau bergelar usahawan.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, terdapat ramai usahawan wanita yang disegani kini didapati menjadi sumber inspirasi bagi golongan wanita lain.
“Mereka ini berjaya menjadi perangsang kepada wanita lain untuk menjana pendapatan, selain membentuk jati diri wanita yang mantap serta menjamin kehidupan wanita dengan adanya wang saku sendiri,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian selepas berkenan berangkat merasmikan perniagaan makanan dan minuman selera Mak Lang nasi campur yang diusahakan Basah Mat Ali, 63, di pekarangan Masjid Al-Barakah Kampung Jelempok di sini hari ini.
Basah sebelum ini juga pernah menerima sumbangan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) melalui inisiatif Projek Peningkatan Sosioekonomi Asnaf MAIPs.
Sementara itu, Tuanku Syed Faizuddin bertitah, kebelakangan ini, banyak peluang, ruang serta kesedaran diberikan di media-media sosial sehingga semakin menarik minat wanita menceburkan diri dalam perniagaan.
“Antaranya berniaga secara dalam talian bermula dengan menjadi agen produk, kemudian menyertai pelbagai program oleh kerajaan bagi menambah ilmu perniagaan. Wanita kini semakin berani tampil memajukan lagi perniagaan tanpa mengabaikan tugas hakiki sebagai ibu dan isteri.
“Melalui aktiviti perniagaan juga, ketika berdepan konflik Covid-19, para suri rumah, isteri dan ibu secara tidak langsung masih dapat meningkatkan pendapatan isi rumah masing-masing,” titah baginda. – UTUSAN ONLINE