PETALING JAYA: Permintaan terhadap dadah sintetik atau syabu menunjukkan trend peningkatan meskipun harganya lebih mahal berbanding dadah jenis ganja yang lebih popular sebelum ini.
Perkara ini jelas apabila Polis Diraja Malaysia (PDRM) merekodkan sebanyak 27,050.07 kilogram pelbagai jenis dadah yang dirampas Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) sejak awal tahun ini sehingga November lalu.
Daripada jumlah itu, sebanyak 7,919.75 kg adalah syabu.
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Razarudin Husain berkata, turut menunjukkan rampasan tertinggi iaitu Ephedrine dan bahan kimia membuat dadah jenis syabu apabila sebanyak 8,734.5 kg dirampas.
Kata beliau, bagi rampasan dadah jenis ganja pula menunjukkan penurunan sebanyak 23 peratus apabila sebanyak 3,232.08 kg.
“Dalam tempoh sama, sebanyak 2,140.52 kg dadah jenis heroin turut dirampas diikuti erimin 5 (2,028.45 kg), pil captogon (650 kg), ketamin (465.11 kg), pil yaba (343.80 kg) dan pil ekstasi (259.71 kg) dan kafien (283.41 kg).
“Rampasan dadah ini dilakukan selepas kita menahan 119,218 individu termasuk kingpin yang aktif terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah,” katanya dalam sidang akhbar kejayaan JSJN di Pulapol di sini hari ini.
Mengulas lebih lanjut, kata Razarudin lagi, dalam tempoh sama, sebanyak 19 makmal dadah dibongkarkan di seluruh negara.
Kata beliau, sebanyak enam makmal dadah dibongkarkan di Pulau Pinang diikuti Selangor (empat) Kuala Lumpur dan Johor masing-masing (tiga) selain Perak (dua) serta Kedah (satu).
“Kesemua makmal ini dikesan mampu memproses 1.12 tan dadah jenis Ekstasi, Syabu dan Heroin dengan keuntungan bersih bernilai RM43.5 juta,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE