PETALING JAYA: Pemimpin-pemimpin mendoakan kesihatan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) semalam.
Antaranya, Pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Najib Tun Razak menerusi hantaran di Facebooknya semalam dan turut berkongsi kenyataan daripada IJN yang memaklumkan mengenai keadaan Dr. Mahathir.
“Semoga dipermudah segala urusan dan diberikan kesembuhan,” tulisnya.
Selain itu, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut mendoakan kesihatan Ahli Parlimen Langkawi itu.
“Saya doakan Insya-Allah aafiyah buat @chedetofficial (Dr. Mahathir) ,” ciapnya di Twitter, semalam.
Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu tidak ketinggalan mendoakan buat Dr. Mahathir.
“Semoga Allah kurniakan kesembuhan dan kesihatan yang baik..Insya Allah,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook, hari ini.
Media melaporkan, Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) itu dimasukkan ke IJN, malam tadi.
Menurut kenyataan IJN, Dr. Mahathir itu tiba di IJN pada pukul 7 petang bagi menjalani pemeriksaan kesihatan dan pemerhatian susulan.
“Beliau dijangka berada di IJN untuk beberapa hari,” kata kenyataan itu. – UTUSAN ONLINE