KANGAR: Semangat perpaduan dalam kalangan rakyat tanpa mengira kaum yang tampil menghulurkan bantuan dan saling bantu-membantu ketika bencana banjir di Lembah Klang dan Pahang cukup luar biasa.
Dalam masa sama, Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail memuji sikap para sukarelawan yang tampil dari seluruh negara untuk sama-sama membantu membersihkan rumah mangsa serta tempat-tempat awam daripada lumpur, sampah sarap serta menyalurkan pelbagai bantuan lain.
Selain itu, baginda menzahirkan penghargaan kepada semua warga Perlis yang terlibat sebagai pasukan petugas serta para sukarelawan dalam membantu mangsa banjir Lembah Klang dan Pahang.
Titah baginda, semua warga Perlis tidak kira di mana sahaja mereka berada yang berkorban daripada segi tenaga, masa, mahupun sokongan moral dan banyak juga melalui penyaluran kewangan.
“Difahamkan, terdapat juga masjid dan juga rumah-rumah ibadat yang dijadikan pusat berkumpulnya mangsa banjir tanpa mengira kaum dan agama. Ini menunjukkan rakyat Malaysia sentiasa bersama walau dalam suka mahupun duka,” titah baginda di sini hari ini.
Sementara itu, baginda turut menyeru rakyat Perlis untuk terus menyalurkan bantuan sama ada secara langsung atau melalui badan-badan sukarelawan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang terlibat.
“Inilah masanya untuk kita membalas budi baik mereka yang telah membantu kita berulang kali ketika negeri Perlis juga pernah dilanda banjir sebelum ini,” titah baginda.
Dalam pada itu, Tuanku Syed Faizuddin juga berharap agar sumbangan awal bernilai RM300,000 daripada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) secara terus mahupun dengan kerjasama NGO-NGO akan sedikit sebanyak membantu meringankan beban mangsa terlibat.
Baginda juga menasihatkan semua penduduk yang berada di kawasan berisiko sentiasa berwaspada dan mematuhi segala arahan pihak berkuasa dari masa ke semasa.
Terdahulu, baginda diiringi Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor berkenan meluangkan masa singgah menyantuni seorang asnaf, Intan Taib,76, dan menyampaikan agihan zakat MAIPs di Kampung Wang Ulu di sini. – UTUSAN ONLINE