KUALA LUMPUR: Rakyat boleh meletakkan harapan dan cita-cita mereka untuk menentukan parti mana yang lebih yakin menerajui negara kepada apa yang diperjuangkan oleh Perikatan Nasional dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Bersatu berpegang kepada prinsip-prinsip yang agak penting dari segi integriti menentang rasuah dan penyalahgunaan kuasa di samping mendukung apa yang terkandung dalam Perlembagaan.
“Jadi prinsip ini diulang berkali-kali untuk memberi peringatan kepada ahli Bersatu dan rakyat tentang apakah Bersatu itu sebenarnya, tentang apakah yang kami perjuangkan.
“Maka itu diharap dapat meningkatkan keyakinan orang-orang ramai bahawa mereka boleh meletakkan harapan dan cita-cita mereka untuk menjadi lebih berjaya kepada apa yang diperjuangkan oleh PN dan Bersatu,” katanya dalam sidang akhbar pada Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu 2021 di Pusat Dagangan dan Pameran Antarabangsa (MITEC) di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian mengenai peluang Bersatu dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang selepas perkembangan politik negara yang memperlihatkan pertambahan parti-parti politik seperti Parti Warisan Sabah (Sabah) dan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda).
Menurut Muhyiddin, meskipun PN merupakan sebuah parti gabungan yang agak baru, namun pihaknya dapat melihat penerimaan rakyat itu terutamanya di Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah lepas.
“Ini penting bagi kita kerana mereka menunjukkan keyakinan, kepercayaan dan sehingga hari ini saya kira pimpinan kerajaan negeri di bawah Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor adalah kerajaan yang berkesan.
“Kita percaya bahawa dengan adanya sikap rakyat Malaysia yang lebih memahami, berpengetahuan dan ada pengalaman, maka lebih tahu untuk menentukan siapa yang mereka lebih yakin dan percaya untuk menerajui negara ke hadapan ini.
“Jadi landskap politik negara sudah banyak berubah dan sebab itu kita tekankan dalam perhimpunan ini soal mengukuhkan kerjasama dengan PN kerana tidak ada satu parti politik mana pun boleh berdiri sendiri untuk membentuk kerajaan,” jelasnya.
Dalam pada itu, Muhyiddin ketika ditanya mengenai cadangan bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron bahawa Pakatan Harapan (PH) dan PN pimpinan Bersatu perlu bersatu menentang Barisan Nasional (BN) dalam PRU akan datang, beliau berkata, Bersatu tidak mungkin bekerjasama dalam bentuk PH sedia ada.
Katanya, ini kerana banyak perbezaan yang agak ketara antara gabungan kedua-kedua itu dan bukannya tidak menjunjung prinsip perpaduan.
“Dalam bentuk PH sedia ada ini, tak mungkin, bukan kita tak suka perpaduan, tetapi pasal ada agak banyak ketara perbedaan.
“Saya dulu ada pengalaman di situ, sebab itu kita buat keputusan untuk meninggalkan PH, jadi berpegang kepada prinsip, maka sukar.
“Ini kerana satu daripada parti yang berada dalam itu (PH) dilihat tidak terlalu pro Melayu, bumiputera dan banyak sejarahnya mempertikaikan hak (Melayu dan Bumiputera), jadi kita tak boleh bersama dalam jemaah yang ada di situ.
“Maka sebab itu saya tak fikir perkara itu (kerjasama PH dan PN) boleh berlaku kecuali ada rombakan besar berlaku dalam PH yang menyebabkan kita boleh meneliti semula (cadangan kerjasama), setakat ini, i don’t think so,” jelasnya.