KUALA LUMPUR: Rakaman kenyataan seorang ahli perniagaan yang ditemukan maut selepas terjatuh dari sebuah kondominium mewah di Pulau Pinang, dua bulan lalu, diterima masuk sebagai keterangan dalam perbicaraan kes rasuah Lim Guan Eng.
Mahkamah Sesyen di sini hari ini membenarkan permohonan pihak pendakwaan agar kenyataan mendiang Datuk Ewe Swee Kheng ditandakan sebagai eksibit dan digunakan pada perbicaraan kes projek terowong dasar laut dan jalan utama melibatkan bekas Ketua Menteri.
Hakim Azura Alwi ketika memutuskan demikian berpuas hati, pihak pendakwaan berjaya membuktikan bahawa ahli perniagaan tersebut telah meninggal dunia dan fakta berkenaan tidak dipertikai oleh pihak pembelaan.
Swee Kheng, 53, yang sepatutnya dipanggil sebagai saksi pendakwaan ke-15, meninggal dunia pada pukul 5.37 pagi, 5 Oktober lalu selepas ditemukan di bahagian bawah kondominium mewah The Palazzo, Jalan Kelawei, Pulau Pinang manakala sebab kematian ialah kecederaan berganda akibat jatuh daripada tempat tinggi.
Mahkamah berpendapat, kenyataan yang diberikan kepada pegawai perakam Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Penolong Penguasa Mohd. Nazri Mansor ketika siasatan, direkodkan berdasarkan Seksyen 30(8) Akta SPRM.
Beliau turut berpuas hati, mendiang telah menandatangani semua kenyataan dan sebarang pertikaian berhubung ketidakpatuhan subseksyen atau isu penambahan dalam kenyataan yang tidak ditandatangan secara ringkas (initial) telah dijelaskan oleh pegawai perakam tersebut.
Menurut Azura, isu berhubung jawapan yang tertinggal dan tulisan pada beberapa muka surat kenyataan telah diterangkan oleh pegawai perakam dan perkara itu tidak menjejaskan kebolehterimaan kenyataan tersebut di mahkamah.
Pada 30 November lalu, peguam Gobind Singh Deo yang mewakili Guan Eng membantah permohonan tersebut atas alasan keseluruhan kenyataan itu adalah rekaan pihak SPRM kerana sebahagian besar adalah ditulis dengan tulisan tangan manakala empat perenggan pada muka surat terakhir adalah ditaip.
Gobind turut mempertikaikan mengapa kenyataan terakhir iaitu pada 14 Ogos lalu, dirakam setahun kemudian.
Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin ketika berhujah menyatakan, pihak pembelaan gagal membuktikan kenyataan setebal tujuh muka surat yang dirakam daripada Swee Kheng, dibuat secara paksaan.
Beliau berhujah, perkara yang diceritakan oleh Pengarah Urusan Kumpulan Ewein Bhd. itu adalah benar dan diakui sendiri oleh mendiang ketika sesi soal siasat yang berlangsung selama empat hari iaitu pada 3 Julai, 8 Julai dan 9 Julai tahun lalu manakala kenyataan terakhir pada 14 Ogos lalu.
Pendakwaan berhujah, mendiang bersetuju bahawa keempat-empat kenyataan tersebut adalah miliknya dan menurunkan tanda tangan serta tanda tangan ringkas selepas membacanya.
Selepas keputusan diumumkan, Gobind memaklumkan pihak pembelaan memohon agar pegawai perakam dipanggil semula untuk disoal balas pada prosiding tersebut.
Wan Shaharuddin memberitahu pihak pendakwaan tiada bantahan terhadap permohonan tersebut namun Mohd. Nazri tidak hadir hari ini dan akan hadir pada tarikh perbicaraan berikutnya.
Mahkamah kemudian menyambung perbicaraan dengan mendengar keterangan bekas Pegawai Kewangan Negeri Pulau Pinang, Datuk Seri Mokhtar Mohd. Jait.
Guan Eng yang sebelum ini dimasukkan ke wad Institut Jantung Negara (IJN) sejak Ahad lalu kerana menjalani prosedur perubatan, hadir hari ini untuk dibicarakan atas pertuduhan pindaan menggunakan kedudukannya untuk menerima suapan wang RM3.3 juta.
Suapan itu sebagai tindakan membantu syarikat Consortium Zenith Beijing Urban Construction Group Sdn. Bhd. (CZBUCG) milik Datuk Zarul Ahmad Mohd. Zulkifli dilantik melaksanakan projek itu yang bernilai RM6.3 bilion.
Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di antara bulan Januari 2011 dan Ogos 2017 di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, Tingkat 28, Komtar. – UTUSAN ONLINE