KUALA LANGAT: Lebih 3,500 penduduk Bandar Seri Ehsan, Banting di sini, menempuh detik perit apabila masih terperangkap dan terputus hubungan akibat banjir sejak Ahad lalu.
Ia berikutan jalan utama sepanjang lima kilometer di kawasan itu dinaiki air setinggi dua meter dan tidak dapat dilalui kenderaan ringan. Keadaan itu mengakibatkan penduduk terputus bekalan elektrik, makanan dan talian komunikasi.
Pengerusi Persatuan Penduduk Bandar Seri Ehsan (PPBSE), Ahmad Kamal Miswan berkata, banjir di jalan itu mengakibatkan sebanyak 1,250 rumah penduduk tiada bekalan elektrik sehingga kini.
“Kami terpaksa bergantung sepenuhnya kepada lilin dan mesin ‘generator’ (set penjana) pada waktu malam. Selain itu, rangkaian talian komunikasi juga bermasalah dan bekalan makanan terhad,” katanya ketika ditemui di pusat pemindahan sementara (PPS) PPBSE di sini, hari ini.
Tinjauan mendapati jalan itu masih ditutup kepada kenderaan kecuali lori dan pacuan empat roda berikutan dinaiki air setinggi 1.2 meter.
Tambah Ahmad Kamal, situasi memburuk apabila ada penduduk yang mula panik untuk keluar kerana bimbang banjir akan melanda kawasan perumahan tersebut.
“Banjir itu tidak melibatkan kediaman biarpun dianggap terburuk dalam tempoh hampir 20 tahun. Keadaan juga semakin terkawal apabila bekalan makanan mula disalurkan pihak berkuasa yang turut mengawal laluan utama ke kawasan ini sejak kelmarin,” katanya.
Bagi penduduk, Siti Zulbaidah Zakaria, 48, banjir di laluan itu pernah berlaku sebelum ini namun hanya berskala kecil.
“Bencana kali ini paling teruk sehingga terputus hubungan sepenuhnya terutama bekalan elektrik. Saya bagaimanapun bersyukur kerana semua penduduk terselamat selain berharap banjir segera surut dan tidak berulang,” katanya. – UTUSAN ONLINE