LANGKAWI: Sebuah pusat saringan Covid-19 baharu dibuka berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (LTAL) di sini bagi memberi kemudahan kepada pelancong asing yang baru tiba di pulau itu melakukan Ujian Pantas -Tindak Balas Berangkai Polimerase (RT-PCR).
Pusat saringan tersebut, SafeTrac Lounge and Wellness mula dibuka pada 10 Disember lalu dilengkapi dengan kemudahan makmal sendiri yang dapat mengeluarkan keputusan ujian tersebut dalam masa 90 minit sahaja.
Kemudahan tersebut dikendalikan secara kerjasama oleh Langkawi Airport Hotel Sdn. Bhd., Tri-G Technologies Sdn. Bhd. (Tri-G) dan Associate Partners Laboratories Sdn. Bhd. (AP Lab).
Ketua Penasihat Korporat Tri-G, Datuk Ramlan Merican Naina Merican berkata, kemudahan ini dibangunkan bagi menggalakkan industri pelancongan di Langkawi yang kini dibuka kepada pelancong asing melalui pelaksanaan gelembung pelancongan antarabangsa Langkawi.
“Sebelum ini, tiada makmal khusus yang memproses sampel saringan Covid-19 dan sampel itu perlu dihantar ke luar Langkawi, menjadikan masa yang lama diperlukan bagi mendapat keputusan saringan.
“Menerusi kemudahan makmal ini, masa menunggu untuk mendapatkan keputusan saringan dapat dikurangkan dengan banyak menjadikan pelancong asing ini dapat meneruskan aktiviti mereka di sini tanpa perlu berkurung lama di bilik hotel menunggu keputusan saringan,”
Beliau berkata demikian selepas menerima sijil penyertaan Persatuan Pelancongan Langkawi (LTA) pada majlis prapelancaran SafeTrac di Hotel LTAL, Padang Matsirat di sini hari ini.
Turut hadir, Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Juhari Bulat dan Pegawai Daerah Langkawi, Saiful Anwar Azmi.
Ramlan memberitahu, SafeTrac juga berintegrasi dengan sistem TracAPM yang digunakan Angkatan Pertahanan Awam (APM) yang memudahkan pemantauan kemasukan pelawat ke sini.
Akhbar sebelum ini melaporkan, seramai 5,000 pelancong antarabangsa dijangka mengunjungi pulau ini di bawah program Gelembung Pelancongan Antarabangsa Projek Rintis Pulau Langkawi yang bermula pada 15 November lalu.
Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Nasaruddin Abdul Muttalib berkata, pelancong antarabangsa yang merancang masuk ke Langkawi perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan termasuk melakukan ujian RT-PCR di pintu masuk negara. -UTUSAN ONLINE