PETALING JAYA: Pertubuhan Sahabat Ulul Amri Malaysia (PSUAM) meminta pihak-pihak berkuasa menyiasat jika wujud sebarang usaha dalam kerajaan pentadbiran Pakatan Harapan menyorok salah laku Tan Sri Zeti Akhtar Aziz dan Tan Sri Nor Mohd. Yakcop yang didakwa tidak dapat digunakan bagi tujuan kes pembelaan kes Datuk Seri Najib Tun Razak.
PSUAM hari ini turut membuat laporan mengenai salah guna kuasa pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya dan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di sini.
Pengerusinya, Syed Muhammad Imran Syed S N Abdul Aziz mendakwa, ini susulan kenyataan rasmi SPRM bahawa wang berkaitan 1Malaysian Development Berhad (1MDB) berjumlah RM65 juta dalam akaun bank suami Zeti, Datuk Tawfik Ayman dikembalikan oleh kerajaan Singapura melalui syarikat Cutting Edge Industries Sdn. Bhd. yang dimilik bersama warga Singapura, Samuel Goh.
Malah, ujarnya, Menteri Undang-Undang di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Sri Wan Junaidi telah mengesahkan dalam Dewan Rakyat bahawa pihak polis sudah mula menyiasat penerimaan wang oleh Datuk Tawfik Ayman daripada Low Taek Jho atau Jho Low.
“Pada tahun 2016, Samuel Goh telah mengaku di mahkamah Singapura bahawa dia telah dibayar sebanyak US$4 juta (RM16.8 juta) l membuka beberapa syarikat luar pesisir pantai ataupun off-shore company bagi menerima pindahan wang bernilai berbilion-bilion ringgit daripada 1MDB termasuk syarikat Aabar Investments BVI.
“Ini menimbulkan persoalan apabila rakan niaga Tawfik adalah pengasas syarikat-syarikat luar pesisir pantai yang menerima dan menggelapkan dana dari 1MDB manakala isterinya merupakan Gabenor Bank Negara Malaysia ketika itu yang meluluskan pindahan wang dari 1MDB ke syarikat luar negara,” dakwanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, Syed Muhammad Imran mendakwa, portal Malaysia Today turut melampirkan satu dokumen 14 muka surat pada 5 Disember lalu yang didakwa daripada siasatan SPRM yang turut menyatakan Tan Sri Nor Mohamed Yakcop dana 1MDB berjumlah RM85 juta yang disembunyikan dalam akaun proksi di Singapura.
Ujarnya, pengesahan daripada SPRM diperlukan memandangjan Zeti dan Nor Mohamed memainkan peranan yang amat penting dalam kes SRC bekas perdana menteri Tun Razak serta disenaraikan sebagai saksi-saksi utama pendakwaan.
“Kita sedia maklum Zeti yang menasihatkan Najib untuk membuka akaun atas nama peribadi beliau bagi menerima sumbangan dana selain mengarahkannya (Najib) memantau sebarang kemasukan dana dalam akaun bank tersebut.
“Nor Mohamed selaku Menteri Ekonomi masa itu yang mengesyorkan penubuhan SRC serta membentangkan kertas kabinet untuk meluluskan jaminan kerajaan supaya syarikat SRC boleh meminjam dana sebanyak RM4 bilion dari KWAP.
“Sehubungan itu, kedua-dua mereka telah menggunakan kedudukan dan melakukan kesalahan salah guna kuasa di bawah Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009,” dakwanya.
Tambahnya, Tan Sri Tommy Thomas juga telah mengeluarkan kenyataan yang mengatakan dia sudah semasa memegang jawatan Peguam bahawa Zeti dan suaminya telah memainkan peranan memudahkan Jho Low dalam skandal 1MDB namun tidak mengambil tindakan ekoran siasatan m SPRM belum selesai.
“Pendedahan-pendedahan ini semua jelas menunjukkan bahawa Pejabat Peguam Negara, pihak pendakwaan dan agensi-agensi siasatan utama negara telah mengetahui salah laku Zeti dan Nor Mohamed sejak tahun 2019,” dakwanya lagi.
Mengikut laporan The Edge, Datuk Tawfik Ayman mula terlibat dan menerima wang daripada Jho Low berjumlah sebanyak RM700 juta termasuk US$153 juta dari akaun bank Good Star yang menerima sebanyak US$700 juta dari 1MDB. – UTUSAN ONLINE