SHAH ALAM: Politeknik Premier Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PPSSAAS) merangkul anugerah Politeknik Terbaik Keusahawanan dalam Majlis Anugerah Keusahawanan Kementerian Pengajian Tinggi 2021 (AKKPT2021) yang diadakan di sebuah hotel di Putrajaya malam tadi.
Kemenangan tersebut membolehkan PPSSAAS membawa pulang wang tunai berjumlah RM100,000 trofi serta hadiah iringan di samping wang tunai RM10,000 selaku finalis.
Pengarah PSA, Dr. Mohd Zahari Ismail berkata, kemenangan tersebut membuktikan bahawa keusahawanan menjadi tunjang utama di PSA dalam melahirkan pelajar yang holistik dan berminda keusahawanan.
“Pelbagai inisiatif telah dijalankan untuk memperkasakan ekosistem keusahawanan di PPSSAAS.
“Ini termasuk perancangan strategik keusahawanan dengan model FITC iaitu Pendanaan , Teknologi Inovasi dan Kerjasama yang dibangunkan selaras dengan aspirasi Pelan Tindakan Keusahawanan IPT 2021-2025 dan Garis Panduan Pendidikan Keusahawanan Bersepadu,” katanya menerusi kenyataan akhbar hari ini.
Sementara itu, Ketua Pusat Keusahawanan Premier PSA, Zaharatul Akmar Ahmad Zainuddin pula memberitahu, penjenamaan semula Unit Pembangunan Keusahawanan kepada Pusat Keusahawanan Premier yang bernaung secara langsung di bawah Pengarah PPSSAAS juga menunjukkan agenda keusahawanan menjadi fokus utama dalam melahirkan usahawan pelajar sebagai pencipta pekerjaan sama ada semasa masih dalam pengajian apatah lagi setelah bergelar graduan.
Katanya, kemenangan tersebut menjadi pemangkin bagi mengekalkan kecemerlangan dan pihaknya akan meneruskan pelan tindakan keusahawanan yang telah dirancang untuk membangunkan lebih ramai usahawan pelajar yang berjaya seperti Muhammad Meor Fazrul (Meor Legacy), Muhammad Aiman Abdullah (Dye Sublimition Printing), Intan Maisara Abdul Halim (Butter & Cake), Mira Arina Arman (Satay Adam Corners) dan ramai lagi.
“AKKPT2021 adalah platform pengiktirafan tertinggi Kementerian Pengajian Tinggi terhadap komitmen jitu dan usaha tanpa jemu institusi pengajian tinggi, tenaga pengajar, para pembimbing, pelajar dan graduan untuk memperkasakan agenda keusahawanan di IPT,” ujarnya.
Lima kategori dipertandingkan iaitu Institusi Terbaik Keusahawanan, Perusahaan Pelajar Terbaik, Perusahaan Graduan Terbaik, Mentor Usahawan Terbaik dan Projek Usahawan Sosial Terbaik.- UTUSAN ONLINE