PRU dulu, baru pemilihan parti - Pengerusi UMNO Perak - Utusan Malaysia

PRU dulu, baru pemilihan parti – Pengerusi UMNO Perak

SAARANI Mohamad menyampaikan sijil dan cenderamata kepada ahli UMNO pada Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Larut di Selama hari ini. - UTUSAN/WAT KAMAL ABAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LARUT: Menjaga perasaan yang kalah dalam pemilihan agar tidak terluka dan mengekalkan jentera parti yang telah terbina sejak dua tahun lalu antara sebab pemilihan UMNO wajar diadakan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Pengerusi UMNO Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, terdapat dua perbezaan pendapat yang berlegar dalam UMNO, iaitu sama ada mahu mengadakan PRU-15 terlebih dahulu atau pemilihan UMNO dulu.

“Buat PRU-15 dahulu selepas itu buat pemilihan UMNO. Ini untuk kebaikan parti agar tidak berlaku perpecahan dalam kalangan UMNO dan demi menjaga perasaan orang yang kalah tidak terluka atau kecewa sekiranya berlaku pemilihan parti lebih awal berbanding PRU-15.

“Jika pemilihan parti diadakan terlebih dahulu, orang UMNO kena faham, pemilihan ini mahu tidak mahu akan melukakan hati orang yang kalah.

“Sekiranya ini berlaku, tidak mustahil  ada parti lain yang melambai kepadanya. Orang yang kalah ini berada dalam keadaan sedih dan kecewa dan akan meninggalkan parti kalau dia tidak terpilih.

“Apa yang saya nyatakan ini adalah pandangan peribadi saya,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Larut di Dewan Majlis Daerah Selama dekat sini hari ini.

Menurut Saarani, beliau turut dimaklumkan oleh Ketua Pemuda UMNO, Datuk  Asyraf Wajdi Dusuki sebanyak 168 Ketua Pemuda Bahagian di seluruh negara akan tamat tempoh had jawatan kerana berusia 40 tahun.

Beliau berkata, jika pemilihan dilakukan maka ia akan menjejaskan jentera parti.

Katanya, jika 168 Ketua Pemuda berkenaan tidak lagi menjadi ketua jentera peringkat Pemuda, maka ia akan memberi kesan terhadap parti.

“Bukan itu sahaja, malahan jawatan timbalan pemuda, Ketua Puteri termasuk di peringkat jawatankuasa mereka kerana mereka ini telah dilatih selama dua tahun sebagai jentera PRU-15, tidakkah ini sesuatu yang merugikan parti?” katanya.

Menurutnya, UMNO Perak belum membuat sebarang keputusan sama ada pemilihan parti perlu diadakan sebelum atau selepas PRU-15 diadakan.

“Mesyuarat Badan Perhubungan UMNO Perak memutuskan untuk memberi kebebasan kepada UMNO bahagian masing-masing untuk membuat keputusan,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya