PUTRAJAYA: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) memulakan pendaftaran program MyLESEN Goods Driving License 2.0 (GDL 2.0) bertujuan membantu syarikat logistik dan pengangkutan dalam menyelesaikan masalah kekurangan pemandu kenderaan barangan.
Menurut kenyataan Kementerian Pengangkutan, ia dijangka dapat membuka 700 peluang pekerjaan kepada rakyat yang mana ramai terjejas akibat penularan wabak pandemik Covid-19.
“Inisiatif ini dilancarkan selaras dengan Pelan Induk Logistik & Fasilitasi Perdagangan dan Dasar Pengangkutan Negara (DPN) 2019-2030. Pendaftaran kini dibuka sehingga 31 Disember ini kepada warganegara Malaysia berumur 21 tahun dan ke atas, yang mempunyai Competent Driving License (CDL) kelas D atau E,” katanya.
Katanya, pemohon hendaklah tidak disenaraihitamkan oleh mahkamah, JPJ atau Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan warganegara Malaysia yang berkelayakan serta memenuhi syarat ditetapkan berpeluang menjalani kursus pemanduan kenderaan perdagangan bagi memiliki lesen memandu (E Full) dan GDL dengan sebahagian kos disubsidikan oleh kerajaan.
“Peserta juga akan menerima elaun sekali bayar (one-off) sebanyak RM500. Pendaftaran program ini adalah tertakluk kepada terma dan syarat ditetapkan, manakala kursus pemanduan akan dilaksanakan di Institut Memandu (IM) yang memenuhi kriteria kelayakan dan terpilih di seluruh negara,” katanya.
Program MyLESEN GDL 2.0 ini adalah salah satu inisiatif yang dilaksanakan seiring dengan aspirasi Keluarga Malaysia, di samping memperkasakan industri logistik dan tenaga kerjanya.
Pendaftaran peserta dan syarikat yang berminat boleh dilakukan di pautan https://forms.gle/S6ryiJcaXaiFsJLz7 (calon syarikat) dan https://forms.gle/hTvePaM6bTesTxdE8 (calon pemandu) manakala, sebarang persoalan boleh dikemukakan ke email [email protected]. – UTUSAN