PRN Sarawak: SPR sediakan garis panduan khas hari mengundi - Utusan Malaysia

PRN Sarawak: SPR sediakan garis panduan khas hari mengundi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUCHING: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyediakan garis panduan khas sebagai rujukan kepada semua pengundi yang akan keluar mengundi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak esok.

Setiausaha SPR, Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, semua pengundi diwajibkan memakai pelitup separuh muka, melalui proses saringan suhu badan, menggunakan pensanitasi tangan dan merekodkan kehadiran serta mengamalkan penjarakan fizikal.

“Pengundi perlu melalui penggunaan pensanitasi tangan di empat stesen dalam pusat mengundi iaitu di pintu masuk pusat mengundi, di pintu masuk saluran, di dalam saluran (selepas proses mencelup jari dengan dakwat kekal iaitu sebelum menerima kertas undi) dan sebelum keluar dari pusat mengundi. 

“Petugas pilihan raya akan memantau pergerakan pengundi bagi memastikan garis panduan ini dipatuhi sepanjang berada dalam pusat mengundi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, pengundi yang bergejala dan tidak melepasi saringan suhu badan akan tetap dibenarkan mengundi di khemah khas yang dipantau oleh pegawai kesihatan. 

“Pengundi berkenaan akan diuruskan oleh pegawai kesihatan untuk pemeriksaan dan tindakan lanjut. 

“Manakala individu yang diletak di bawah Perintah Pengawasan dan Pemerhatian (Person Under Surveillance) dan individu yang bergejala yang sedang dalam rawatan (Person Under Investigation) yang ingin mengundi hendaklah memohon kebenaran daripada pegawai kesihatan daerah, untuk keluar sementara ke pusat mengundi,” katanya.

Pada masa sama, beliau mengingatkan kepada semua pihak khususnya pengundi, calon dan petugas yang ingin memasuki pusat mengundi pada hari mengundi untuk tidak memakai baju, topi, pelitup separuh muka atau membawa material yang mempunyai nama, simbol, gambar parti atau calon yang bertanding atau apa-apa bahan kempen serta sebarang tagline atau slogan kempen yang menjurus atau membawa maksud sokongan atau cenderung kepada mana-mana fahaman politik.

“Mana-mana pengundi atau individu yang gagal mematuhi undang-undang boleh dihalang dari memasuki pusat mengundi dan dikenakan tindakan undang-undang sekiranya berbuat demikian.

“SPR berharap semua pihak mematuhi undang-undang, peraturan dan etika pilihan raya bagi memastikan kelancaran proses pilihan raya serta tidak menggugat ketenteraman awam. Sebarang pelanggaran undang-undang yang berkaitan boleh dikenakan tindakan,” katanya.

Ikmalrudin juga mengingatkan kepada semua pihak yang bertanding bahawa tempoh rasmi berkempen akan tamat pada malam ini iaitu sehingga jam 11.59 minit malam, 17 Disember 2021.

Katanya, selepas tempoh itu berakhir, semua pihak hendaklah menghentikan sebarang bentuk aktiviti berkempen termasuk aktiviti merayu undi.

“Mana-mana pihak tidak boleh merayu undi termasuklah di luar pusat mengundi dan juga melalui saluran media sosial seperti Facebook, Twitter, Instagram dan lain-lain,” katanya.

Beliau juga mengingatkan bahawa semua parti atau calon bertanding adalah dilarang untuk membuka, membina atau menyelenggara barung semasa hari mengundi.

“Mana-mana pihak yang melakukan kesalahan ini akan diambil tindakan undang-undang,” katanya.

Katanya lagi, pengundi juga dinasihatkan supaya keluar mengundi mengikut masa keluar mengundi yang digalakkan seperti mana yang tercatat pada aplikasi MySPR Semak. 

“Sekiranya pengundi tidak dapat hadir pada masa keluar mengundi yang digalakkan atas sebab-sebab tertentu, pengundi masih boleh keluar mengundi mengikut kelapangan masa dari jam 7.30 pagi hingga 5.00 petang atau waktu yang telah diwartakan. 

“Namun demikian, pengundi adalah dinasihatkan untuk tidak keluar mengundi pada saat-saat akhir,” katanya.

Tambahnya, majikan perlu membenarkan pekerja mereka untuk keluar mengundi esok. 

“Mana-mana majikan yang tidak membenarkan suatu tempoh kepada pekerja mereka untuk keluar mengundi boleh diambil tindakan mengikut Seksyen 25 (3) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 yang memperuntukkan hukuman denda RM5,000 atau penjara selama setahun, jika sabit kesalahan,” katanya.

Seramai 1,213,769 orang pengundi bakal keluar mengundi di seluruh Sarawak esok. 

Sebanyak 1,866 pusat mengundi dan 3,555 saluran akan dibuka esok untuk tujuan pengundian dengan seramai 46,565 orang petugas akan bertugas bagi proses pengundian esok.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya