PRN Sarawak: Penamaan calon bermula sekejap lagi - Utusan Malaysia

PRN Sarawak: Penamaan calon bermula sekejap lagi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUCHING: Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-12 bermula pukul sembilan pagi ini menyaksikan sebanyak 82 pusat penamaan calon di seluruh negeri dibuka bagi 82 Dewan Undangan Negeri (DUN).

Proses penamaan itu bakal menyaksikan parti-parti politik khususnya empat seteru utama iaitu Gabungan Parti Sarawak (GPS), Pakatan Harapan (PH), Parti Sarawak Bersatu (PSB) dan Gabungan Anak Sarawak (Gasak) berentap bagi merebut kerusi-kerusi DUN bagi membentuk kerajaan negeri baharu.

Pelaksanaan PRN Sarawak ini adalah siri pilihan raya negeri selepas PRN di Sabah, September tahun lalu dan terbaharu di Melaka namun situasinya berbeza apabila Sarawak masih berada di Fasa Tiga di dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) manakala negeri-negeri lain sudah beralih ke Fasa 4.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menerusi prosedur operasi standard (SOP) pencegahan Covid-19 bagi pelaksanaan PRN Sarawak yang dimuat naik semalam, menyatakan aktiviti ceramah dalam tempoh berkempen secara fizikal dibenarkan selama dua jam dan tidak melebihi pukul 10 malam.

Bagaimanapun, kebenaran itu hanya terpakai di DUN yang tidak mempunyai capaian internet yang tinggi dan di luar keadaan itu, penganjuran kempen secara fizikal sepanjang tempoh pilihan raya masih tidak dibenarkan.

SOP bagi hari penamaan pagi ini pula meletakkan syarat jumlah maksimum kehadiran di pusat penamaan calon adalah tertakluk kepada saiz dewan dan penjarakan fizikal sekurang-kurangnya satu meter.

Antara lain calon, pencadang dan penyokong dibenarkan masuk ke dalam pusat penamaan calon untuk mengemukakan dokumen penamaan calon manakala wakil parti dan penyokong parti politik dilarang hadir ke pusat penamaan berkenaan.

Selepas penamaan, ia disusuli dengan hari mengundi awal pada 14 Disember dan diberi tempoh 12 hari untuk berkempen sebelum tarikh mengundi pada 18 Disember seperti ditetapkan SPR.

Jurucakap SPR memaklumkan sebanyak 1,268 borang penamaan calon terjual dan pilihan raya kali ini menyaksikan seramai 1,252,014 pengundi layak mengundi terdiri daripada 1,228,858 pengundi biasa, 12,585 anggota tentera dan pasangan 10,458 anggota polis serta pasangan dan 113 Pengundi Tidak Hadir (PTH) Luar Negara.

Keseluruhan jumlah pusat mengundi adalah sebanyak 1,951 dengan 3,666 tempat mengundi/saluran dan seramai 46,565 individu dilantik bagi mengendalikan PRN Sarawak.

DUN Sarawak sepatutnya dibubarkan setelah mencapai tempoh matang lima tahun pada 7 Jun lalu namun proses itu tidak dapat dilaksanakan kerana tertakluk kepada Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 yang sudah dibatalkan dan diungkaikan oleh kerajaan. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya