PRN: Kerajaan Johor teliti reaksi Bersatu, Pas - Utusan Malaysia

PRN: Kerajaan Johor teliti reaksi Bersatu, Pas

HASNI Mohamad (tiga dari kanan) melepaskan konvoi membawa bantuan banjir ke Selangor sempena Misi Bantuan Bencana Makmur Johor di Pejabat Umno Johor. -UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Kerajaan negeri akan meneliti dan memantau reaksi khususnya dalam kalangan parti yang bergabung membentuk kerajaan pada hari ini serta kemungkinan perlunya pilihan raya negeri (PRN) diadakan.

Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad berkata, perkara itu perlu dilakukan ekoran kedudukan kerajaan negeri kini yang kini berada dalam keadaan genting dengan hanya berkelebihan satu kerusi.

Jelasnya, kedudukan getir itu tidaklah memadai untuk PRN diadakan memandangkan situasi politik di negeri itu berbeza berbanding di Sarawak atau Melaka.

“Kerajaan yang ada ini bertambah tidak stabil dan saya sedang memantau sekiranya berlaku keadaan sedemikian. Dengan kematian Datuk Osman Sapian, menjadikan Johor tinggal satu majoriti sahaja.

“Maka dengan itu, perlu saya memahami reaksi khususnya parti-parti yang bergabung untuk tubuh kerajaan. Perbincangan atau perjumpaan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob adalah untuk memaklumkan tentang kedudukan kerajaan Johor yang hari ini mempunyai majoritinya yang amat tipis,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa Majlis Pelepasan Sumbangan Bantuan Banjir Pemuda UMNO Johor dan Rakyat Johor di Pejabat Perhubungan UMNO Negeri di sini hari ini.

Rabu lalu, Osman yang juga bekas Menteri Besar meninggal dunia kira-kira pukul 11.45 malam di kediaman anaknya di Kuala Lumpur.

Pemergian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas itu menjadikan gabungan kerajaan hari ini hanya mempunyai kelebihan satu kerusi iaitu 28 berbanding 27 kerusi milik Pakatan Harapan (PH).

Hasni yang juga Pengerusi UMNO Johor berkata,  pihaknya juga akan melihat reaksi terkini ADUN Johor menerusi Persidangan Khas DUN yang diadakan pada 6 Januari ini.

Katanya, Sidang Khas DUN itu adalah untuk meminda Undang-undang Tubuh Negeri Johor 1895 berkenaan meluluskan had usia pengundi dan calon kepada usia 18 tahun.

“Dengan keadaan negeri satu majoriti ini saya perlu melihat dan meninjau keadaan semasa. Sama ada kita nak buat Pilihan Raya Kecil (PRK), Speaker DUN sudah jelaskan tidak perlu kerana sudah melepasi tempoh tiga tahun.

“Jadi mengenai PRN, jika ada kemungkinan saya perlu melihat kepada keperluan tersebut berdasarkan reaksi dan keadaan terkini Johor.

“Kemungkinan mengadakan PRN ini saya kira tidak boleh disandarkan sepertimana berlaku di Melaka atau Sarawak. Ini kerana selama tempoh hampir dua tahun ini kita telah menguruskan perjalanan DUN dengan baik malah berjaya menggubal beberapa dasar,” katanya.

Tambah Hasni, sekiranya PRN ingin diadakan, ia perlu melihat kepada kemungkinan-kemungkinan di lapangan. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya