PETALING JAYA: Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) menyuntik dana tambahan sebanyak RM3 juta untuk membantu Keluarga Malaysia yang terjejas dengan bencana melanda negara sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan peruntukan untuk misi bantuan banjir adalah sebanyak RM5 juta.
Pengerusinya, Datuk Dr. Fathul Bari Mat Jahya berkata, misi Bantuan Tambahan Bencana Banjir 2021 #PR1MAKita itu adalah langkah yang diambil untuk meringankan beban mereka terjejas akibat bencana banjir luar biasa itu selari dengan inisiatif yang diumumkan kerajaan.
“Memahami kepayahan mereka yang terjejas seperti kehilangan tempat tinggal, kerosakan harta benda dan keadaan rumah yang dipenuhi lumpur, PR1MA akan menyalurkan bantuan tambahan seperti waterjet untuk membersihkan kawasan rumah yang terjejas, kelengkapan pembersihan diri, bantal, tilam, selimut serta bakul makanan.
“Bantuan-bantuan ini akan disumbangkan kepada mangsa banjir negeri-negeri yang terjejas dengan bencana alam ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini
Terdahulu, PR1MA sebelum ini juga telah menggerakkan lebih 100 kakitangan di Hulu Langat,
dan Taman Sri Muda, Shah Alam bagi kerja-kerja pembersihan kediaman mangsa banjir.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PR1MA, Datuk Mohd Nazri Md. Shariff berkata, PR1MA terus bekerjasama dengan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bagi memastikan koordinasi dan gerak kerja yang teratur bagi kerja-kerja pembahagian barangan sumbangan kepada mangsa banjir di kawasan yang terjejas.
““Tidak lupa juga kepada pembeli kita yang terjejas, kami di PR1MA akan berhubung dengan anda dan berharap dapat membantu anda sedaya mungkin,” katanya.
Untuk sebarang pertanyaan lanjut, sila hubungi PR1MA di 03-76289898 atau e-mel ke [email protected]. – UTUSAN ONLINE