PETALING JAYA: Pertubuhan Penduduk Apartment Sri Puteri (PPASP) memohon campur tangan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari bagi menyelesaikan kemelut dilalui penduduk.
Pengerusinya, Husaini Ahmad berkata, PPASP berharap kerajaan negeri menyelidik semula masalah-masalah yang dihadapi oleh penduduk.
Dakwanya, Badan Pengurusan Pangsapuri Seri Puteri (JMB) perlu disiasat kerana menimbulkan kecurigaan penduduk sehingga menimbulkan perasaan tidak senang.
“Pelbagai masalah timbul kerana JMB tidak konsisten dan keputusan mereka sentiasa berubah-ubah seperti menguatkuasakan satu rumah satu tempat letak kereta.
“Tindakan JMB hanya merugikan duit bayaran penduduk bayar pada tiap bulan. PPSAP sudah membuat satu kaji selidik dan mendapat keputusan 87 peratus responden bersetuju akan penguatkuasaan tempat letak kereta tersebut,” katanya semasa ditemui oleh Utusan Malaysia.
Sebelum ini, JMB membuat Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) di Dewan Sri Hijauan walaupun sudah dinasihati oleh PPSAP untuk membuat mesyuarat tersebut di dalam kawasan perumahan.
Setiausaha PPASP, Zuljimmykifli Sahari berkata, PPASP bersedia menanggung segala bentuk perbelanjaan sekiranya diadakan dalam kawasan apartment Sri Puteri, namun tidak diendahkan oleh JMB.
“Mereka seolah-olah ingin menyusahkan penduduk di sini dan membuat kami tidak datang ke mesyuarat tersebut. Adakah perkara ini disengajakan?
“Malah penyata kewangan tahunan JMB juga tidak diedarkan kepada pemilik petak sejak tiga tahun lalu, apa yang ingin mereka sorok?” Soalnya.
Tambahnya, ahli jawatankuasa JMB pernah gagal merekodkan senarai pembayar khairat kematian sehinggakan waris si mati tidak mendapat apa-apa faedah.
“Hal ini terjadi semasa mereka memegang jawatan sebagai pengerusi dan setiausaha surau An Nur,” jelasnya.
Sementara itu, bekas pengerusi JMB, Mahmod Mansor menyangkal dakwaan jawatankuasa PPSAP, baginya hal ini tidak sepatutnya dijaja ke pihak luar.
“Tiada apa kami nak sorok, masalah dibangkitkan adalah perkara yang sudah diselesaikan. Mengenai AGM, kami berhak membuat keputusan untuk buat mesyuarat di mana-mana asalkan keadaannya selesa,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE