PETALING JAYA: Penyerang Malaysian Tigers, Faizal Saari memohon maaf selepas disahkan positif Covid-19, sekali gus mengakibatkan pasukannya tidak dapat menyertai kejohanan Trofi Juara-Juara Asia (ACT) 2021, yang akan bermula esok hingga 22 Disember ini di Dhaka, Bangladesh.
Faizal, yang disahkan positif Covid-19 pada 8 Disember lalu dan tidak mengalami sebarang gejala berkata, dia mengambil tanggungjawab penuh di atas kesulitan tersebut.
Susulan daripada itu, skuad kebangsaan kini sedang menjalani proses kuarantin selaku kontak rapat kepada pemain kelahiran Terengganu itu.
“Pertama sekali saya ingin memohon maaf kepada pasukan dan pihak pengurusan terutamanya Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), Datuk Seri Subahan Kamal dan semua sekali yang terlibat.
“Saya minta maaf disebabkan saya disahkan positif Covid-19, pasukan tidak dapat mengambil bahagian dalam Kejohanan Trofi Juara-Juara Asia. Saya minta maaf juga kerana meletakkan pasukan dalam situasi ini.
“Apa yang berlaku bukan sesuatu yang saya inginkan tetapi disebabkan ia terjadi, saya mengambil tanggungjawab ini.
“Disebabkan saya, pasukan tidak dapat ke Bangladesh dan itu yang saya paling terkesan kerana melibatkan pasukan,” katanya menerusi MHC, semalam.
Tambah pemain berusia 30 tahun itu, dia sudahpun mengikut prosedur operasi standard (SOP) sebaik mungkin, namun tetap dijangkiti virus tersebut.
“Sekali lagi saya betul-betul minta maaf dan saya akan cuba berfikiran positif untuk menghadapi situasi ini. Saya tidak pasti dari mana jangkitan ini saya dapat.
“Kini saya perlu menjalani proses kuarantin selama 10 hari sebelum membuat ujian calitan sekali lagi. Saya berharap ujian calitan yang akan datang semuanya baik-baik sahaja,” jelasnya.
Semalam, MHC mengesahkan Malaysian Tigers tidak akan beraksi di ACT 2021 ekoran salah seorang pemain disahkan positif Covid-19 selain perlu akur dengan arahan Majlis Sukan Negara (MSN) dan kementerian yang bertanggungjawab mengenai hal pandemik Covid-19. – UTUSAN