Pos Malaysia lancar setem khas tema 100 Tahun Piala Malaysia - Utusan Malaysia

Pos Malaysia lancar setem khas tema 100 Tahun Piala Malaysia

LEMBARAN khas mengandungi setem peringatan bertemakan 100 Tahun Piala Malaysia yang ditawarkan untuk peminat filateli. – POS MALAYSIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Meskipun Piala Malaysia edisi ke-100 sudah berakhir, namun Pos Malaysia Berhad mengabadikan legasi kejohanan bola sepak tertua di Asia itu dalam bentuk setem.

Menurut hantaran menerusi laman sosial syarikat tersebut semalam, set lembaran khas bertema 100 Tahun Piala Malaysia itu sudah dijual seluruh negara pada 27 Disember lalu.

Selain pejabat pos besar di semua ibu negeri, folder istimewa ditawarkan pada harga RM48.30 bagi satu set lengkap itu juga boleh dibeli di 94 cawangan Biro Filateli Pos Malaysia termasuk pejabat pos di kebanyakan bandar besar setiap negeri selain empat institusi pengajian tinggi awam di sekitar Lembah Klang antaranya Universiti Malaya di ibu negara.

Satu set lembaran itu mengandungi 20 keping setem masing-masing berharga RM1.90 dalam satu helaian selain sampul surat hari pertama bersama dua setem berbeza dan folder.

Peminat filateli juga boleh menempah pembelian lembaran istimewa secara dalam talian menerusi pautan laman sesawang rasmi http://www.pos.com.my/shop/products/stamps.html.

Agensi tersebut yang diwujudkan sejak zaman penjajahan British awal 1800-an, banyak menerbitkan setem khas bersempena dengan tema tertentu atau peringatan peristiwa penting.

Piala Malaysia merupakan pertandingan sukan tahunan bola sepak paling berprestij di negara ini yang diperkenalkan kolonial British pada 1921 dengan nama asal Piala HMS Malaya dan kemudian dijenamakan sebagai Piala Malaysia pada 1967 dengan penyertaan pasukan Sabah dan Sarawak selain Brunei dan Singapura yang beberapa kali pernah dijemput khas.

Untuk tahun ini, 16 pasukan menyertainya iaitu 11 dari Liga Super dan lima dari Liga Premier yang dibahagikan dalam empat kumpulan sebelum peringkat kalah mati pada suku akhir.

Sejumlah 58 perlawanan berlangsung dalam suasana norma baharu apabila tiada penonton dibenarkan masuk sebelum dibolehkan dengan kuota terhad dan mesti lengkap divaksin.

Kelab Kuala Lumpur City muncul menewaskan juara bertahan, Johor Darul Ta’zim 2-0 dalam perlawanan akhir di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada 30 November lalu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya