Polis tubuh Martak bagi misi bantuan banjir di Hulu Langat - Utusan Malaysia

Polis tubuh Martak bagi misi bantuan banjir di Hulu Langat

HAMZAH Zainudin beramah mesra bersama Razarudin Husain (kanan) di Kementerian Dalam Negeri, Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Polis Diraja Malaysia menubuhkan Markas Taktikal (Martak) bagi usaha penyelarasan operasi bantuan mangsa banjir di Daerah Hulu Langat yang terjejas teruk. 

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, ia susulan lawatan beliau sendiri meninjau kawasan itu dengan Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryll Sani Abdullah Sani kelmarin.

“Ia telah diwujudkan semalam di Pusat Kokurikulum Jabatan Pendidikan Negeri Selangor di Kem Tekali,” katanya pada sidang akhbar di kementeriannya di sini hari ini.

Terdahulu, beliau menyampaikan watikah pelantikan Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Razarudin Husain menggantikan Datuk Seri Mazlan Lazim yang bersara wajib pada Sabtu ini.

Ini disusuli dengan majlis penyerahan sumbangan kepada kepada 32 kakitangan ibu pejabat Kementerian Dalam Negeri yang terjejas akibat banjir dan turut disampaikan beliau sendiri.

Turut hadir ialah Ketua Setiausaha Kementerian, Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan. Mengulas lanjut, Hamzah berkata, objektif Martak ialah berfungsi sebagai pusat operasi di lapangan.

“Pegawai pemerintah akan menyelaras operasi bantuan semua unit dari dalam dan luar selain koordinasi operasi mencari dan menyelamat mangsa tragedi yang lebih bersepadu,” katanya.

Markas ini ujarnya, menempatkan anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia dari sekitar Hulu Langat untuk membantu operasi harian selain pelbagai penugasan yang akan dilaksanakan

Sebelum penubuhan Martak katanya, segala kerja mencari dan menyelamat penduduk terlibat diselaraskan oleh Briged Batalion Pasukan Gerakan Am dari Kem Semenyih dan Cheras.

Mereka turut dibantu ramai pegawai dan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang namun ia masih tidak mencukupi memandangkan skala kerosakan bencana kali ini amat dahsyat.

“Saya telah minta Perdana Menteri dan Menteri Kewangan untuk kementerian beli bot serta sudah dapat kelulusan tambahan 50 buah lagi untuk ditempatkan di balai-balai polis,” katanya.

Beliau turut menjelaskan kelewatan penghantaran bantuan kepada mangsa berlaku kerana tidak ramai menjangka bencana disebabkan hujan lebat berterusan dalam tempoh agak lama.

Selama ini katanya, persediaan amat rapi hanya berfokus kepada negeri-negeri di Pantai Timur Semenanjung Malaysia dengan persiapan awal menjelang musim tengkujuh akhir tahun.

Ditanya sikap degil penduduk enggan berpindah kerana bimbang rumah dimasuki pencuri, Hamzah turut kesal dan memberi jaminan, polis akan menjaga kawasan rumah ditinggalkan.

“Saya mohon tolong dengar arahan dan bukan sampai sudah terlambat, kerana apabila mangsa pindah, seluruh kawasan yang dikosongkan itu akan dikawal pula pihak polis,” katanya.

Proses tersebut ujarnya, membolehkan usaha penyaluran bantuan kepada penduduk oleh pelbagai agensi di pusat penempatan sementara yang mudah diselaraskan dalam masa singkat.-UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya