PETALING JAYA: Polis sedang menyiasat satu video yang tular berkaitan pergaduhan membabitkan tiga lelaki warga tempatan di sebuah premis di Kondominium Wira Jaya Setapak, Kuala Lumpur.
Video berdurasi dua minit 10 saat itu tular selepas dimuat naik seorang pengguna laman Facebook dengan nama akaun, Anas Najib di laman Kaki Viral.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Ashari Abu Samah berkata, susulan penularan itu, siasatan dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Wangsa Maju mengikut bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan.
“Sehubungan itu, orang ramai dinasihati supaya tidak menularkan video tersebut sehingga boleh mendatangkan kegusaran awam.
“Mereka yang mempunyai maklumat boleh menghubungi IPD Wangsa Maju di talian 03-92899222 atau Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau mana- mana Balai Polis berhampiran,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE