TAIPING: Polis Perak menahan 1,632 individu yang terlibat dengan pelbagai kesalahan perjudian sejak Januari lalu hingga semalam.
Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, tangkapan berkenaan adalah hasil 1,557 serbuan terhadap premis judi dalam talian dan judi ekor haram.
Katanya, dalam serbuan tersebut, wang tunai dipercayai hasil judi berjumlah RM269,735 dirampas bersama 344 unit peranti elekronik.
“Terdapat penurunan kegiatan judi dalam talian di Perak pada tahun ini apabila merekodkan 255 serbuan dengan 296 tangkapan berbanding 269 serbuan dan 395 tangkapan tahun lalu.
“Bagaimanapun, judi ekor haram mencatatkan peningkatan ketara iaitu 1,302 serbuan dengan 1,336 tangkapan berbanding tahun lalu sebanyak 652 serbuan dan 691 tangkapan,” katanya ketika ditemui selepas Program Hari Bertemu Pelanggan bersama Ketua Polis Perak di Taiping Mall di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE