PETALING JAYA: Polis tidak menolak kemungkinan sindiket pinjaman wang tanpa lesen dan ah long mula mengambil kesempatan ke atas mangsa banjir yang memerlukan kos besar untuk memulakan kehidupan.
Ini kerana, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesan tindakan beberapa individu yang dipercayai ahli sindiket mula mendekati mangsa-mangsa banjir dan menawarkan pinjaman.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Bukit Aman, Datuk Kamarudin Md. Din berkata, sehingga kini tiada sebarang laporan diterima berhubung perkara itu.
Namun begitu, kata beliau, tidak dinafikan semasa fasa pemulihan pasca banjir, ramai mangsa yang terkesan memerlukan sokongan khususnya dari segi kewangan.
“Justeru adalah dinasihatkan kepada semua mangsa banjir yang terbabit supaya sentiasa berwaspada dan berhati-hati agar tidak menjadi mangsa kepada sindiket pemberi pinjaman wang tanpa lesen ini.
“Pihak polis sentiasa komited untuk memantau dan membanteras kegiatan ah long melalui siasatan dan operasi yang berterusan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah Kamarudin, siasatan di bawah Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951, Kanun Keseksaan dan lain-lain akta berkaitan akan dilaksanakan sekiranya terdapat laporan berhubung aktiviti jenayah tersebut.