Polis Melaka tumpaskan sindiket jual bayi 'Geng Nana'

Sindiket jual bayi ‘Geng Nana’ tumpas

ABDUL Majid Mohd. Ali menunjukkan gambar suspek dikenali sebagai Analita yang diburu kerana dipercayai menjadi bidan dalam kegiatan menjual bayi sekitar Melaka dan Negeri Sembilan. - FOTO/DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Polis Melaka berjaya menumpaskan sindiket penjualan bayi dan kanak-kanak yang didalangi seorang suri rumah digelar Nana dengan penahanan 16 individu sejak 30 November lalu. 

Seramai 14 suspek ditahan merupakan ahli sindiket berusia antara 25 hingga 58 tahun, manakala dua lagi adalah pasangan suami isteri yang dipercayai melakukan urusan pembelian seorang bayi lelaki. 

Dalam Op Pintas Nana itu, polis turut menyelamatkan dua bayi lelaki berusia tiga bulan, seorang bayi perempuan empat bulan serta seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun yang dilahirkan oleh wanita-wanita muda. 

Ketua Polis Melaka, Datuk Abdul Majid Mohd. Ali berkata, beberapa siri serbuan telah dilakukan oleh kontinjen negeri selepas menerima laporan berhubung kejadian daripada sepasang suami isteri pada 30 November lalu. 

Katanya, dalang utama iaitu seorang suri rumah digelar Nana berusia 33 tahun, berjaya dikesan dan diberkas di sebuah inap desa sekitar Melaka Tengah yang dijadikan lokasi untuk menjaga ibu hamil serta ‘bilik bersalin’ pada 16 Disember lalu. 

“Pada hujung bulan lalu, sepasang suami isteri telah membuat laporan polis mengenai urusan pengambilan anak angkat dengan bayaran sebanyak RM12,000, namun tidak diberikan apa-apa dokumen kelahiran.

“Hasil risikan kita berjaya mengesan sindiket penjualan bayi ini dan menahan 14 ahli termasuk dalang iaitu seorang suri rumah berusia 33 tahun digelar Nana,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah di sini, hari ini. 

Tambahnya, ahli sindiket itu telah menggunakan Instagram menerusi akaun ‘mencari_anak_angkat_syurga’ untuk mendapatkan pelanggan dan wanita-wanita muda yang hamil anak luar nikah bagi melakukan kegiatan mereka. 

“Mereka membuat perjanjian dengan wanita-wanita muda ini untuk menyediakan keperluan asas sehinggalah bayi itu dilahirkan, termasuk seorang bidan bagi menjaganya. 

“Kumpulan ini berselindung dengan menjadikan rumah inap desa di sekitar daerah ini sebagai hospital untuk menjaga ibu hamil tersebut sepanjang tempoh sebulan sebelum melahirkan,” katanya. 

Abdul Majid berkata, geng itu telah aktif sejak Mac tahun lalu dan menyasarkan pasangan suami isteri di sekitar Melaka serta Negeri Sembilan untuk pengambilan anak angkat pada harga sekitar RM11,000 sehingga RM12,000.

Jelasnya, ibu bapa yang bersetuju akan membuat pembayaran secara berperingkat, manakala bayaran kepada ibu hamil tidak termasuk dan bergantung atas ihsan ibu angkat bayi berkenaan.

“Kita kini masih mengesan tiga lagi bayi yang dipercayai telah diserahkan kepada keluarga angkat dan seorang bidan warga tempatan berusia 27 tahun. 

“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 14 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (2007) (ATIPSOM) dan sabit kesalahan boleh dipenjara minimum tiga tahun dan maksimum 20 tahun dan denda,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya