GEORGETOWN: Polis Pulau Pinang menegaskan, sambutan tahun baharu yang berskala besar seperti di padang awam dan di mana-mana kawasan terbuka dilarang sama sekali.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Sofian Santong berkata, hanya sambutan tahun baharu berskala kecil di tempat tertutup dan boleh dikawal penjarakan fizikal dibenarkan dijalankan.
“Berdasarkan arahan terkini Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam tempoh ini sambutan tahun baharu berskala besar di tempat terbuka adalah dilarang. Polis berharap orang ramai mematuhi arahan dikeluarkan ini supaya keselamatan semua pihak terjamin memandangkan terdapat varian Omicron dikesan di negeri ini,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, di sini hari ini.
Menurutnya, polis negeri ini juga akan mengadakan operasi secara ‘omnipresence’ melibatkan semua jabatan bermula malam sambutan tahun baharu bagi memastikan arahan serta prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi semua pihak.
“Seramai 146 pegawai dan 821 anggota akan ditugaskan sepanjang operasi ini berlangsung bagi memastikan keselamatan awam terjaga,” katanya.
Dalam pada itu Sofian berkata, polis menjangkakan aliran trafik ke Pulau Pinang akan meningkat sehingga 40 peratus bermula esok sehingga hujung minggu ini.
“Kita menjangka berlaku kesesakan di beberapa daerah seperti di daerah Timur Laut, Barat Daya dan Seberang Perai. Kawasan lokasi pelancongan seperti Batu Ferringhi serta premis makanan di pusat bandar Georgetown juga akan sesak dengan pertambahan pelancong pada hujung minggu ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE