KOTA TINGGI: Seorang anggota polis cedera dalam insiden membabitkan sebuah bas ekspres di lokasi Sekatan Jalan Raya (SJR) di Kilometer 52.0 Jalan Johor Bahru-Mersing, di sini malam tadi.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Hussin Zamora berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 10.30 malam ketika bas berkenaan dalam perjalanan ke Kuala Terengganu.
Kata beliau, kejadian melibatkan sebuah bas ekspres yang dipandu seorang lelaki tempatan dari Terminal Larkin Sentral, Johor Bahru dengan membawa seramai 26 penumpang.
“Kesemua penumpang terdiri daripada 12 lelaki dewasa, sembilan perempuan dewasa, tiga kanak-kanak perempuan dan dua kanak-kanak lelaki. Semasa sampai di SJR itu, secara tiba-tiba pintu penyimpanan tayar gantian di bahagian belakang sebelah kanan bas berkenaan telah terbuka dan terkena khemah SJR yang berada di tengah-tengah jalan.
“Ketika itu terdapat anggota yang sedang bertugas berada di bawah khemah dan akibat kejadian tersebut salah seorang petugas polis mengalami kesakitan akibat dihempap tiang besi khemah SJR. Mangsa mengalami kecederaan dalaman pada bahagian belakang,” katanya.
Hussin berkata, anggota polis tersebut dihantar oleh ambulans ke Hospital Kota Tinggi untuk mendapat rawatan lanjut.
“Hasil saringan awal air kencing terhadap pemandu bas mendapati keputusannya negatif daripada sebarang pengaruh dadah. Pemandu berkenaan juga tidak memiliki sebarang rekod jenayah tetapi ditahan dan disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dengan tidak cermat serta tidak bertimbang rasa.
“Jika disabitkan kesalahan dihukum denda tidak kurang daripada RM5,000 atau maksimum RM10,000, manakala antara RM10,000 hingga RM15,000, bagi sabitan seterusnya,” katanya.
Tambahnya, suspek juga boleh dipenjara bagi tempoh maksimum 12 bulan dalam dua-dua keadaan tersebut. – UTUSAN ONLINE