TAIPING: Polis sedang melengkapkan siasatan kes rogol dua beradik yang didakwa dilakukan seorang penjawat awam di kawasan belukar dekat Ayer Tawar, Manjung minggu lalu.
Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, pihaknya telah selesai mengambil keterangan mangsa berusia 20 tahun dan 37 tahun serta tiga saksi lain iaitu teman lelaki seorang daripada mangsa, bapa dua beradik tersebut dan seorang pengawal keselamatan.
Katanya, keterangan kesemua mereka diambil bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 376 dan 392 Kanun Keseksaan.
“Berdasarkan siasatan, mangsa dan suspek tidak mengenali satu sama lain. Suspek direman tujuh hari sehingga 1 Januari ini. Kita juga telah merampas beberapa barang termasuk kad pengenalan, beg tangan, lesen memandu dan kunci motosikal,” katanya ketika ditemui selepas Program Hari Bertemu Pelanggan bersama Ketua Polis Perak di Taiping Mall di sini hari ini.
Menerusi laporan media Ahad lalu, seorang penjawat awam berusia 21 tahun yang bertugas di Kota Samarahan, Sarawak ditahan kerana dipercayai terlibat dalam kes rogol dua beradik pada pukul 2.38 pagi, 21 Disember lalu.
Kejadian berlaku di sebuah kawasan belukar di tepi jalan Kampung Paya Nibong, Ayer Tawar.
Ketika kejadian, dua adik-beradik itu menaiki sebuah motosikal untuk pulang ke rumah sebelum ditahan suspek yang juga menaiki motosikal di laluan sama.
Suspek kemudian bertindak mengugut akan membunuh mangsa jika tidak mengikut arahannya, sebelum dirogol. – UTUSAN ONLINE