Pokok pisang diusaha koperasi masjid rosak ditenggelami banjir - Utusan Malaysia

Pokok pisang diusaha koperasi masjid rosak ditenggelami banjir

ABDUL Fattah Abdullah melihat keadaan pokok pisang nangka yang diusahakan oleh Koperasi Kariah Masjid Kundur Hulu yang rosak akibat banjir pada 18 Disember lalu.-UTUSAN/NOR AINNA HAMZAH.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

REMBAU: Hanya berbaki kurang dua bulan sahaja lagi, Koperasi Kariah Masjid Kundur Hulu, di sini, bakal menikmati hasil pertama tanaman 500 batang pokok pisang nangka yang diusahakan.

Bagaimanapun, hasrat berkenaan tidak tercapai apabila hampir keseluruhan pokok pisang tersebut tenggelam dalam kejadian banjir pada 18 Disember lalu.

Pengerusi Koperasi Kariah Masjid Kundur Hulu, Zubir Jamal berkata, projek tanaman pisang nangka berkenaan merupakan projek tanaman kedua yang diusahakan koperasi selepas projek buluh betung madu.

“Projek ini di bawah koperasi dan ada seorang pengusaha yang menguruskan projek berkenaan sejak hampir setahun lalu. Kami jangka dalam tempoh sebulan ke dua bulan lagi, hasil pertama akan boleh dituai.

“Bagaimanapun, disebabkan terendam di dalam banjir, pembesaran buah jadi terencat dan daun pisang juga tidak begitu cantik. Begitu juga buluh betung madu di mana rebungnya juga terkesan banjir serta tidak sesuai untuk dijual.

“Kami anggarkan kerugian bagi projek pisang dan buluh ini hampir RM10,000.  Bagaimanapun, kami terima keadaan ini dan menganggap ia sebagai proses pembelajaran koperasi dalam bidang pertanian,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita sempena lawatan Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa), Datuk Dr. Abdul Fattah Abdullah hari ini.

Sementara itu, Abdul Fattah berkata, Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) memperuntukkan bantuan permulaan RM1 juta untuk koperasi yang terjejas akibat banjir.

Menurutnya, mana-mana koperasi yang terkesan seperti bangunan musnah, tanaman serta perniagaan terjejas boleh memohon bantuan di bawah tabung berkenaan.

“Syaratnya mestilah terlebih dahulu membuat laporan polis berhubung nilai kerugian yang dialami. Nilai maksimum bantuan yang boleh disalurkan sebanyak RM30,000 bagi koperasi yang layak,” katanya.-UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya