PM sertai ribuan jemaah doa kesejahteraan Malaysia  - Utusan Malaysia

PM sertai ribuan jemaah doa kesejahteraan Malaysia 

ISMAIL SABRI Yaakob turut bersama berdoa dan berzikir di Masjid Putra, Putrajaya. – UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyertai ribuan jemaah Masjid Putra di sini mendoakan kesejahteraan Malaysia bersempena Tahun Baharu 2022.

Beliau yang hadir pada pukul 6.45 petang tadi turut menyempurnakan Majlis Solat Hajat dan Malaysia Berzikir Ambang 2022 setelah selesai solat fardu maghrib secara berjemaah.

Acara solat dipimpin oleh Imam Besar Masjid Putra, Salahuddin Ghozali, manakala alunan bacaan zikir munajat pula diterajui ketua kumpulan nasyid terkenal Hijjaz, Munif Ahmad.

Program selama sejam itu berakhir dengan lantunan doa munajat yang penuh syahdu diketuai oleh Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Nasruddin Hassan.

Majlis penutup tahun 2021 itu dianjurkan bersama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Yadim bagi menggantikan sambutan Ambang Tahun Baharu 2022 lewat malam ini.

Ia malah dapat disaksikan jutaan penonton termasuk di seluruh dunia secara langsung menerusi saluran TV1 RTM dan TV AlHijrah serta wadah digital bermula pukul 7 petang tadi.

Semalam, Ismail Sabri memaklumkan pembatalan acara rasmi Ambang Tahun Baharu 2022 sebagai tanda simpati dengan nasib ratusan ribu mangsa banjir di beberapa buah negeri.

Beliau juga menyarankan masjid di seluruh negara menganjurkan program yang sama, manakala bagi penganut bukan Muslim pula, ia boleh dilakukan mengikut kepercayaan mereka.

Turut hadir ialah Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Zuki Ali; Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara, Datuk Rodzi Md. Saad dan anggota jemaah menteri beragama Islam.

Ini merupakan tahun kedua berturut-turut tiada acara sambutan tahun baharu di negara ini selepas juga dibatalkan tahun lepas susulan isu kebimbangan penularan wabak Covid-19.

Kali terakhir acara sedemikian ditiadakan ialah pada 31 Disember 2014 apabila seluruh negara berkabung susulan tragedi MH370, MH17 dan pesawat AirAsia terhempas di Indonesia.

Malah, kerajaan pernah melakukan perkara yang sama ekoran bencana tsunami dahsyat melanda banyak negara sekitar Lautan Hindi termasuk Malaysia pada 26 Disember 2004 lalu.

Acara itu juga dibatalkan selama tiga tahun berturut-turut dari 1998 hingga 2000 kerana tarikh 31 Disember kebetulan jatuh ketika bulan Ramadan sebagai hormati umat Islam beribadah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya