GUA MUSANG: Bekas Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah berpendapat parti itu perlu melaksanakan proses ‘reboot’ terlebih dahulu sebelum berdepan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Pandangan beliau sekali gus dilihat tidak senada dengan pendirian Pemuda dan Puteri UMNO yang dilaporkan menggesa supaya pemilihan parti hanya diadakan selepas PRU-15 berlangsung.
Walau bagaimanapun kata Ahli Parlimen Gua Musang itu, keputusan sama ada menangguh atau meneruskan pemilihan parti bergantung kepada Presiden atau Majlis Tertinggi UMNO dan beliau menghormatinya.
“Bagi saya sendiri, jika kita nak menghadapi pilihan raya dengan lebih berkesan mesti ada reboot energy atau reboot force sebelum kita hadapi rakyat. Kita tidak boleh terumbang-ambing macam ini.
“Kalau PM orang lain, orang memimpin parti lain, itu tak jadi. Kita tak dapat menyatukan tenaga kita. Bukan bererti orang sama jadi Perdana Menteri, tetapi kena bersatu hatilah walaupun orang berlainan.
“Apabila ada pemikiran begitu, kuatlah kita untuk dapat balik kuasa yang hilang sebab fitnah atau mungkin kerana kempen pihak lawan hebat. Sekarang kita kena bersatu, bersih imej dan nama baik UMNO. Kalau tidak, susah kita nak hadapi rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Gua Musang di Bukit Cekati, di sini semalam.
Terdahulu, sebagai respons kepada desakan Pemuda dan Puteri UMNO, Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, keputusan berkaitan pemilihan akan diputuskan selepas kelima-lima pemimpin tertinggi parti berbincang.
Mengulas mengenai usul kebanyakan bahagian supaya Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kekal sebagai Perdana Menteri hingga tamat penggal pada 2023, Tengku Razaleigh berkata, beliau turut menyokong kepimpinan Ahli Parlimen Bera itu.
Namun lebih utama katanya, pimpinan kerajaan tersebut biarlah tidak ‘bergantung’ kepada mana-mana pihak yang tidak ada kena mengena dengan UMNO, selaras dengan usul diluluskan dalam perhimpunan agung yang lepas.
“Kita dah putus hubungan dengan Bersatu. Kita menang dulu atas tiket BN iaitu UMNO, MCA, MIC. Bukan macam sekarang, dikongkong orang yang tak ada kena mengena, itu berlawanan dengan usul yang diluluskan dalam perhimpunan agung.
“Parti yang ada dalam kerajaan sekarang bertentangan dengan UMNO, melanggar disiplin parti. Usul ini keputusan besar dibuat parti yang tidak boleh dimain-mainkan atau buat ikut suka hati kita,” tegas beliau.