PM kongsi prosedur mohon BWI bagi mangsa tidak berdaftar di PPS - Utusan Malaysia

PM kongsi prosedur mohon BWI bagi mangsa tidak berdaftar di PPS

Infografik yang dikongsi di Twitter Ismail Sabri hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Mana-mana mangsa banjir yang tidak berdaftar di pusat pemindahan sementara (PPS) boleh mendapatkan Bantuan Wang Ihsan (BWI) menerusi lima langkah prosedur mudah.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Ketua Isi Rumah (KIR) boleh menghantar maklumat seperti nombor kad pengenalan, nombor telefon, nombor akaun bank dan alamat yang disahkan ketua komuniti masing-masing.

Beliau berkata, ketua komuniti mengemukakan senarai KIR itu secara bertulis kepada Pusat Kawalan Operasi Bencana dan BWI akan disalurkan dalam bentuk Electronic Fund Transfer (EFT) atau secara tunai.

“Bagi mangsa banjir yang tidak berdaftar di PPS, boleh rujuk panduan ini. Sebarkan kepada ahli keluarga dan mangsa banjir yang belum terima BWI,” katanya menerusi maklumat infografik di Twitter beliau hari ini.

ISMAIL SABRI YAAKOB

Terdapat 10 senarai ketua komuniti yang boleh dihubungi KIR iaitu pegawai daerah, penghulu, ketua kampung, pengerusi persatuan penduduk dan pengerusi badan pengurusan bencana.

Selain itu ahli majlis pihak berkuasa tempatan, majlis perwakilan penduduk, jawatankuasa pembangunan dan keselamatan kampung Persekutuan, pengerusi jawatankuasa dan penyelarasan DUN dan majlis pengurusan komuniti kampung.

Untuk informasi lebih lanjut mengenai bantuan tersebut boleh menghubungi Agensi pengurusan bencana negara (NADMA) di talian 03-80642400. 

Semalam, Perdana Menteri memaklumkan, kerajaan akan memastikan segala bantuan kepada mangsa-mangsa banjir dilaksanakan secara komprehensif, berkesan dan menyeluruh di bawah Bantuan Banjir Keluarga Malaysia dengan nilai keseluruhan RM1.4 bilion.

Beliau berkata, di bawah inisiatif itu juga kerajaan melaksanakan beberapa penambahbaikan mengenai Bantuan Wang Ihsan (BWI) meliputi empat perkara, iaitu pertama, RM1,000 kepada setiap KIR yang terjejas akibat banjir.

Kedua, kerajaan menyalurkan kepada semua KIR yang terkesan termasuk kepada mereka yang tidak berpindah ke PPS dan ketiga, sebanyak RM10,000 diberikan kepada waris mangsa yang meninggal dunia.

Keempat, mangsa-mangsa yang terjejas boleh menuntut BWI setiap kali bencana menimpa berbanding sebelum ini hanya sekali sahaja semasa Monsun Timur Laut berlaku.

“Saya telah mengarahkan pihak-pihak berkaitan supaya memudahkan urusan pembayaran tanpa sebarang birokrasi atau tanpa perlu mengisi pelbagai borang seperti sebelum ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya