PUTRAJAYA: Tidak sampai tujuh hari dilaksanakan, Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kampung Jawa, Ayer Hitam, Daerah Hilir Perak ditamatkan seminggu lebih awal selepas dikenakan perintah itu pada 18 Disember lalu.
Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara, Datuk Rodzi Md. Saad berkata, sekatan secara bersasar tersebut berakhir pukul 12.01 tengah malam tadi iaitu tujuh hari lebih awal daripada jadualnya.
Pelaksanaan PKPD di kampung berkenaan dipercayai susulan penularan Covid-19 daripada kluster komuniti yang diisytihar Jabatan Kesihatan Negeri Perak pada 12 Disember lepas dengan jumlah kumulatif merekodkan 90 kes, iaitu bertambah dua kes baharu lagi daripada jangkitan tempatan setakat semalam.
Bagaimanapun, setelah meneliti pembentangan oleh pihak Kementerian Kesihatan mengenai situasi semasa yang sudah kembali terkawal, PKPD di lokaliti itu ditamatkan mulai hari ini.
Rodzi turut memaklumkan bahawa tiada kawasan baharu yang akan diwartakan PKPD, sekali gus mencatatkan sifar lokaliti dilaksanakan sekatan berkenaan di seluruh negara ketika ini. – UTUSAN ONLINE