PH Johor tolak adakan pilihan raya, fokus bantu rakyat - Utusan Malaysia

PH Johor tolak adakan pilihan raya, fokus bantu rakyat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Pakatan Harapan (PH) Johor komited untuk memberi tumpuan sepenuhnya membela nasib rakyat berbanding memikirkan kemungkinan berlakunya Pilihan Raya Negeri (PRN) ekoran pemergian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas, Datuk Osman Sapian.

PH Johor dalam satu kenyataan bersama memberitahu, langkah melaksanakan sebarang pilihan raya pada masa ini sebagai tidak sensitif terhadap realiti yang sedang dilalui rakyat.

“Kenyataan dikeluarkan Menteri Besar berkaitan kemungkinan pelaksanaan PRN sebagai tidak empati dengan nasib yang sedang dihadapi rakyat.

“PH Johor berpendirian segala usaha, tenaga, komitmen dan dana haruslah disalurkan untuk membantu rakyat yang sedang dalam kesusahan meskipun kedudukan Dewan Undangan Negeri (DUN) berada pada angka 28-27 selepas pemergian ADUN Kempas,” katanya di sini hari ini.

Kenyataan bersama itu dikeluarkan Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Johor, Aminolhuda Hassan; Pengerusi PKR Johor, Syed Ibrahim Syed Noh dan Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong.

Tambah kenyataan itu, PH Johor berharap kerajaan negeri tidak menambah mual rakyat terhadap perangai politikus saat mereka sedang bergelut bertarung nyawa dan berusaha mencari sesuap nasi demi survival.

“Krisis kesihatan akibat Covid-19 memberikan dampak kelembapan ekonomi masih belum selesai dan kemunculan varian Omicron menambah lagi kebimbangan rakyat. Tambah mendukacitakan, kegagalan kerajaan menstabilkan harga barangan mutakhir ini juga telah ‘menambah cuka pada luka’ yang dialami rakyat.

“Pada masa yang sama, negara turut bergelut dengan banjir yang telah mengorbankan puluhan nyawa rakyat serta melibatkan kemusnahan harta benda mencecah jutaan ringgit. Ini suatu sejarah hitam,” katanya.

Pada 22 Disember lalu, Osman yang juga bekas Menteri Besar meninggal dunia di kediaman anaknya di Kuala Lumpur setelah mendapat rawatan akibat serangan strok ringan sejak kira-kira dua bulan lalu.

Semalam, Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad memberitahu, pihaknya akan meneliti situasi politik negeri ini dan melihat kemungkinan sama ada pilihan raya perlu diadakan.

Hal itu kerana katanya, kedudukan kerajaan negeri ketika ini berada dalam keadaan getir dengan hanya memiliki kelebihan satu kerusi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya