PETALING JAYA: Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) menggesa kerajaan untuk memberi penjelasan dalam satu sidang khas Parlimen khusus berhubung kegagalan dalam bencana banjir besar yang melanda negara.
Menurut kenyataannya, pihaknya berpendirian Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan anggota Kabinet wajib memberi penjelasan penuh dalam sidang tersebut.
“Suara rakyat yang kedengaran di media sosial amat lantang mengkritik respons Jemaah Menteri yang sangat lembab atau dilihat setakat ‘berwayang’ tanpa benar-benar membantu mangsa banjir termasuk di Sabah iaitu di Tenom pada Mei dan Penampang pada September lalu.
“Kesan banjir besar dari segi kerosakan harta benda dan kehilangan nyawa hampir 50 orang kali ini amat ketara dan mengguris hati.
“Malah fenomena ini telah membuka mata kita semua kepada realiti bahawa perubahan iklim dan aktiviti manusia khususnya pembalakan berleluasa serta pembangunan yang tidak mampan akhirnya memberi kesan yang amat negatif buat rakyat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kenyataan itu ditulis bersama Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Parti Amanah Negara, Mohamad Sabu; Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Seri Wilfred Madius Tangau.
Menurut Majlis Presiden PH, pihaknya turut berpandangan bahawa kerajaan perlu menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk menubuhkan satu Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI).
“Ini selaras dengan titah Seri Paduka bahawa satu pasca nilai banjir besar ini dilakukan termasuk juga buat Sabah dan Sarawak.
“Ini bagi mengenalpasti segala kelemahan perancangan dan kelewatan pelaksanaan dapat diatasi, termasuk kepincangan yang dinyatakan dalam Laporan Ketua Audit Negara sebagaimana yang didedahkan oleh Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh berhubung enam kolam takungan banjir di Kuala Lumpur yang telah diberi milik untuk tujuan pembangunan,” jelasnya.
Dalam pada itu, Majlis Presiden PH turut merakamkan jutaan terima kasih buat semua petugas, sukarelawan dan dermawan yang membantu dalam pelbagai misi menyelamat, membersih, dan memulihkan kawasan-kawasan yang sangat terjejas akibat banjir yang berlaku.
“Malah tenaga dan semangat para sukarelawan mungkin diperlukan lagi bagi membantu menghadapi gelombang kedua di Pantai Timur Semenanjung Malaysia,” jelasnya.