PH dakwa SKMM jangan jadi alat pemerintah  - Utusan Malaysia

PH dakwa SKMM jangan jadi alat pemerintah 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) menyatakan  kekesalan dengan mendakwa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dijadikan sebagai alat pemerintah untuk menutup mulut susulan kritikan keras daripada media sosial di Facebook dan Twitter.

Menurut kenyataannya, PH mendesak kerajaan bertindak lebih tegas dengan pemberian bantuan kewangan yang mesti melebihi apa yang diberi kerajaan-kerajaan Negeri.

Katanya, kegagalan Kerajaan Persekutuan menerima kritikan keras daripada media sosial khususnya para menteri yang begitu layu dan lemah dalam respons menyelamat serta membantu mangsa sehingga diberi gelaran ‘pelancong banjir’.

“Tindak balas Kerajaan Persekutuan atas kritikan-kritikan berasas ini bukan sahaja gagal meningkatkan mutu perkhidmatan para menteri sebaliknya cuba menghukum dan menutup mulut rakyat.

“Apakah kritikan-kritikan ini begitu menggugat keselamatan negara sehingga SKMM terpaksa meminta pihak Twitter memadam kritikan para netizen ini?

“Tindakan SKMM ini bersifat antidemokratik dan mengingatkan kami tentang sifat kuku besi diktator yang pernah rakyat Malaysia lihat dahulu.

“Kita tidak patut dan tidak boleh kembali ke zaman itu lagi, apatah lagi apabila negara sedang merangka masa depan yang berpaksikan digitalisasi dan teknologi maklumat yang lebih terbuka.

“Yang paling kami kesali adalah bagaimana SKMM diperalat pemerintah untuk menutup mulut rakyat, terutama apabila rakyat sedang tenat dan sengsara akibat banjir,” kata kenyataan itu.

Tambah kenyataan itu, kerajaan dan SKMM khususnya perlu diingatkan bahawa rakyat berhak bersuara terutama dalam isu yang paling menekan sama ada isu kos sara hidup, bencana, mahupun kepincangan kepimpinan di Persekutuan.

“Oleh itu kami menggesa agar Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif SKMM digugurkan segera.

“Dalam era jaringan 5G yang bakal tiba, kerajaan dan badan-badan seperti SKMM perlu faham bahawa demokrasi dan suara rakyat perlu dihormati dan dirai serta tidak patut sekali-kali digugat atau diugut seperti yang berlaku sekarang.

“Akhir sekali, kami turut ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Hari Natal buat semua rakyat Malaysia yang menyambutnya. Semoga tahun baru 2022 lebih baik buat kita semua,” jelas kenyataan itu.

Kenyataan itu dikeluarkan bersama Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibarhim; Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu; Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Seri Wilfred Madius Tangau. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya