‘Peter sudah beberapa kali berhasrat ingin keluar’ - Mohd. Shafie - Utusan Malaysia

‘Peter sudah beberapa kali berhasrat ingin keluar’ – Mohd. Shafie

MOHD. SHAFIE APDAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Keputusan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap, Datuk Peter Anthony keluar daripada Parti Warisan (Warisan) tidak mengejutkan.

Malah, bekas Naib Presiden Warisan itu sudah beberapa kali menyatakan hasratnya ingin keluar meninggalkan parti susulan kes mahkamah yang dihadapinya.

Demikian penjelasan Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal mengenai tindakan Peter memutuskan untuk keluar daripada Warisan semalam.

Walau bagaimanapun, Mohd. Shafie menyangkal dakwaan Peter bahawa Warisan sudah tersasar daripada perjuangan asal hanya kerana keputusan parti melebarkan sayap ke Semenanjung.

“Keputusan melebarkan sayap parti ini dibuat dalam mesyuarat Majlis Tertinggi dan Perhimpunan Agung Tahunan Warisan pada 12 Disember lalu. Ketika itu, seluruh Ahli Majlis Tertinggi dan ahli parti menyokong penuh langkah berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau, Warisan akan terus memperjuangkan hak-hak Sabah dan Sarawak yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang belum lagi dikembalikan seperti pengagihan kekayaan yang saksama, kadar royalti minyak yang lebih baik dan hak wilayah Sabah ke atas pelantar benua.

Ahli Parlimen Semporna itu berkata, Warisan akan kekal kukuh dan berpegang kepada nilai-nilai murni yang menjadi asas kepada perjuangan parti untuk membela nasib seluruh rakyat di negara ini khususnya di Sabah.

“Marilah kita bersama membina satu negara, tanpa mengira bangsa dan agama,” katanya.

Mohd. Shafie yang juga ADUN Senallang berkata, kenyataan Peter ingin Sabah ditadbir oleh parti politik tempatan bercanggah dengan tindakannya ingin menyertai Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

GRS secara jelas diketuai oleh pemimpin daripada parti nasional iaitu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan dianggotai oleh UMNO, Pas, MCA, MIC serta parti berasaskan KDM lain seperti Parti Solidariti Tanah Airku (STAR Sabah), Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) serta Parti Maju Sabah (SAPP).

Mengulas lanjut katanya, keputusan Peter ingin menubuhkan parti pelbagai kaum yang bekerjasama dengan GRS hanya akan memecahbelahkan lagi rakyat Sabah dan masyarakat di pedalaman.

Tambah beliau, tindakan ADUN Limbahau, Datuk Juil Nuatim yang terpengaruh mengikut jejak Peter amat mendukacitakan kerana ia satu keputusan yang tergesa-gesa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya