Peter diperintah bela diri terhadap tuduhan palsukan dokumen UMS - Utusan Malaysia

Peter diperintah bela diri terhadap tuduhan palsukan dokumen UMS

PETER ANTHONY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini hari ini memerintahkan Datuk Peter Anthony membela diri terhadap pertuduhan memalsukan dokumen berhubung kontrak penyelenggaraan sistem Mekanikal dan Elektrikal (M&E) di Universiti Malaysia Sabah (UMS), tujuh tahun lalu.

Hakim Azura Alwi memutuskan demikian selepas berpuas hati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh yang merupakan bekas Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah.

Mahkamah berpendapat, pihak pendakwaan berjaya membuktikan kesnya terhadap Peter, 50, bagi pindaan pertuduhan utama di bawah Seksyen 468 Kanun Keseksaan.

Azura berkata, pihaknya memutuskan demikian selepas meneliti dan memberi pertimbangan maksimum terhadap keterangan saksi-saksi pendakwaan, autoriti yang dikemukakan, hujahan bertulis dan hujahan lisan yang dibentangkan.

Mahkamah menetapkan perbicaraan disambung selama lima hari berturut-turut bermula 3 Januari tahun depan dengan mendengar keterangan tujuh saksi pembelaan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Malalap itu memilih memberi keterangan bela diri secara bersumpah dari kandang saksi.

Sebelum itu, mahkamah menjelaskan pilihan yang boleh diambilnya untuk mengemukakan keterangan bela diri.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin memohon agar pihak pembelaan menyerahkan kenyataan pembelaan dan kenyataan saksi seminggu sebelum perbicaraan.

Peter diwakili oleh peguam-peguam Munawar Kabir Mohd. Zainal Abidin dan Datuk D. Sentinathan.

Perbicaraan terhadap tertuduh bermula 5 April lalu dengan mendengar keterangan 15 saksi pendakwaan.

Mereka termasuk bekas Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Azmi; bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak; bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr. Mohd. Irwan Serigar Abdullah dan bekas Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Harun Abdullah.

Kes pendakwaan ditutup pada 21 September lalu manakala penghujahan akhir kes pendakwaan didengar pada 15 November lalu.

Peter sebagai Pengarah Urusan Asli Jati Engineering didakwa memalsukan surat pejabat Timbalan Naib Canselor (TNC) UMS bertarikh 9 Jun 2014 dengan memasukkan pernyataan palsu pada tajuk surat itu dengan niat untuk menipu.

Menurut pertuduhan, surat berkenaan kononnya menyatakan UMS telah mengadakan kolaborasi dengan Syarikat Asli Jati Engineering yang dimiliki oleh tertuduh.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di pejabat Ketua Setiausaha Sulit Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, Putrajaya antara 13 Jun 2014 dan 21 Ogos 2014.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya