KUALA LUMPUR: Seorang pesara polis mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Selayang, semalam atas dua pertuduhan termasuk dakwaan menembak seekor kucing menggunakan senapang patah, tahun lalu.
Mengikut pertuduhan, Zainol Abidin Md. Zain, 64, didakwa telah membunuh seekor kucing dengan menembak haiwan itu menggunakan senapang patah miliknya pukul 6.40 petang, 1 Julai 2020 di kebunnya di Kuang dekat sini.
Bagi dakwaan ini, pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 428 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan.
Pada masa, tarikh dan tempat sama, warga emas itu juga didakwa melepaskan tembakan di tempat awam tanpa sebarang sebab yang dibenarkan oleh undang-undang.
Pertuduhan bagi dakwaan ini dikemukakan mengikut Seksyen 39 Akta Senjata 1960 (Akta 206) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 43 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda tidak lebih RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Wan Nur Iman Wan Ahmad Afzal mencadangkan ikat jamin sebanyak RM4,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin.
Bagaimanapun, peguamnya, M. Mariappan memohon agar jumlah tersebut dikurangkan memandangkan tertuduh merupakan seorang pesara dan menanggung seorang isteri serta tujuh orang anak.
Majistret Nik Fadli Nik Azlan kemudian menetapkan jaminan sebanyak RM5,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin. Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 24 Februari 2022. – UTUSAN ONLINE