PUTRAJAYA: Malaysia terus merekodkan pertambahan empat kluster Covid-19 baharu selepas semalam, turut mencatatkan enam kluster.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, pertambahan empat kluster itu menjadikan keseluruhan kluster aktif sebanyak 227 kluster.
“Selain itu, 5,742 kluster yang telah tamat direkodkan manakala jumlah kluster terkumpul sejak berlakunya pandemik Covid-19 iaitu 5,969 kluster,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Noor Hisham berkata, Malaysia mencatatkan penurunan kes positif Covid-19 iaitu 4,896 kes manakala semalam, 5,551 kes sekali gus mengatasi 4,676 kes sembuh.
Katanya, sebanyak 490 kes Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 269 kes memerlukan Alat Bantuan Pernafasan (ABP).
“Daripada 4,896 kes harian yang dilaporkan pada hari ini, 79 kes (1.6 peratus) adalah kategori tiga, empat dan lima manakal bakinya, 4,817 kes (98.4 peratus) lagi adalah terdiri daripada kategori satu dan dua,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan kematian, Malaysia semalam, mencatatkan penurunan jumlah kematian yang dilaporkan iaitu 17 kes berbanding kelmarin, 47 kes.
Rekod terbabit adalah setakat pukul 7 petang, hari ini berdasarkan maklumat dikemas kini melalui laman web, https://covidnow.moh.gov.my menjadikan keseluruhan kes terkini sebanyak 30,538 kes.
Bagi kes kematian yang dibawa ke hospital (BID), sebanyak empat daripada 17 kes dengan jumlah keseluruhan sebanyak 6,181 kes. -UTUSAN ONLINE