PUTRAJAYA: Malaysia merekodkan sebanyak 1.8 peratus bersamaan 65 kes daripada 3,519 kes harian positif Covid-19 melibatkan kategori tiga, empat dan lima, hari ini.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, bakinya, 3,076 kes bersamaan 98 peratus adalah terdiri daripada kategori satu dan dua.
“Bagi kes positif, ia menunjukkan peningkatan iaitu 3,519 kes berbanding semalam, 3,140 kes sekali gus diatasi pesakit yang sembuh pula, 5,118 kes. Jumlah pesakit Covid-19 yang memerlukan alat bantuan pernafasan mencatatkan penurunan di bawah 200 kes apabila merekodkan 187 kes berbanding semalam, 189 kes,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Noor Hisham berkata, pesakit yang memerlukan rawatan di unit rawatan rapi (ICU) terus merekodkan penurunan apabila mencatatkan 331 kes berbanding semalam, 353 pesakit.
“Dua kluster baharu dicatatkan yang menjadikan jumlah kluster terkumpul sejak pandemik melanda negara iaitu 6,088 kluster. Sebanyak 234 kluster aktif manakala jumlah kluster yang tamat sebanyak 5,854 kluster,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan kematian, Malaysia semalam, mencatatkan peningkatan jumlah kematian yang dilaporkan iaitu 57 kes berbanding kelmarin, 43 kes. – UTUSAN ONLINE